"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Awasi mesin upahan Umno

Seri
Setiap kali tiba musim pilihan raya kecil, mesin-mesin upahan Umno pelbagai jenis dan rupa akan mula dilepaskan. Mereka selalunya akan muncul apabila ada pilihan raya kecil seperti cendawan yang hanya tumbuh apabila hujan melanda. Sebaik habis pilihan raya, mereka menghilang. Mungkin sedang diberi makan oleh tuannya.

Mesin dan robot-robot ini mempunyai pelbagai fungsi dan tugas, termasuklah melakukan perang saraf terhadap kerajaan pakatan rakyat. Kadang-kadang tugas mereka nampak macam remeh, tetapi kesannya kepada Pakatan Rakyat cukup besar.

Apabila serangan meraka berjaya dipatahkan, mereka akan diam sebentar dan akan kembali semula mengatur strategi baru. Ada antara mereka menyerang melalui blog, menggunakan media masa, tulisan dan ceramah. Tidak kurang juga yang menggunakan kekerasan. Ada juga yang menyamar dan bertindak seperti gunting dalam lipatan.

Dengan adanya robot-robot ini yang bertindak sebagai tentera barisan hadapan, kerja-kerja pemimpin Umno menjadi semakin mudah. Pemimpin Umno hanya perlu tambah sedikit sebanyak mana yang patut bagi menguatkan serangan terhadap pakatan.

Semasa pilihan raya kecil di Hulu Selangor baru-baru ini, ramai mesin politik Umno mula membuka topeng dan menunjukkan diri. Ada yang secara terang-terangan mendabik dada menyokong Umno. Rakyat sepatutnya sudah boleh mengenali individu mutan ini.

Seperti robot dan mesin yang tiada perasaan, ada antaranya yang sanggup membuat tuduhan yang berunsur fitnah bagi memenuhi agenda politik Umno. Habis pilihan raya, segala tuduhan dan cacian senyap begitu sahaja. Jika ada pilihan raya lagi mereka akan sambung semula tugas yang tertangguh. Maka banyaklah isu yang dikitar semula.

Sebagai kerajaan yang menunggu, Pakatan Rakyat perlu peka terhadap kehadiran mesin-mesin upahan ini. Pakatan Rakyat bukan sahaja perlu berhadapan dengan Umno dan media semata-mata, tetapi spesies-spesies upahan mutan ini perlu ditangani dengan berkesan.

Walaupun kemunculan mereka paling ramai ketika pilihan raya, ada juga yang muncul tanpa mengira masa. Kumpulan kedua ini menjalankan tugas secara gerila dan sekali-sekala cuba membuat pukulan maut kepada kerajaan dan pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat.

Tidak mustahil, kunci mesin ini akan dihidupkan semula menjelang penamaan calon di Sibu nanti. Adakah Pakatan Rakyat masih mahu menggunakan cara yang sama bagi menangani mesin upahan ini?
-harakahdaily-

Tiada ulasan: