"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pitbull: Puspal tidak teragak-agak ambil tindakan tegas

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 6 Mei:
Pihak Puspal tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada agen dan artis sekiranya ia terbukti secara fakta melanggari sebarang syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Demikian kenyataan Unit Komunikasi Korporat Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan kepada Harakahdaily petang tadi sebagai merujuk artikel yang bertajuk “PAS desak kerajaan jelaskan lulus konsert Pitbull”.

Harakahdaily hari ini melaporkan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa mendesak kerajaan memberi penjelasan mengapa meluluskan persembahan konsert Pitbull pada 15 Mei ini.

“Bagaimanakah artis seperti Pitbull berjaya mendapat kelulusan untuk membuat persembahan sedangkan video clip dan lirik lagu beliau ternyata berbaur lucah dan membawa pengaruh seks rambang, budaya penagihan dadah sebagai rekerasi?” tanya beliau.

Katanya, penjelasan itu perlu dibuat oleh pihak Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) yang bernaung di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kerana Pitbull membawa unsur negatif kepada rakyat negara ini.

“Bukankah kementerian harus mempertahankan kesejahteraan dan ketenteraman rakyat Malaysia supaya tidak didedahkan kepada elemen-elemen dan unsur–unsur negatif yang boleh memudaratkan rakyat Malaysia amnya?” katanya lagi.

Kenyataan itu menyebut Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) melalui Puspal sentiasa mengambil pandangan berat mengenai kemasukan artis luar ke negara ini supaya ianya sentiasa selari dan mematuhi nilai-nilai budaya dan tatasusila rakyat Malaysia.

Justeru itu, semua permohonan yang dikemukakan untuk membawa masuk artis luar akan melalui proses penapisan yang ketat sebelum ianya diluluskan. Agen yang mewakili pihak artis luar dan diri artis yang berkenaan harus menandatangani surat persetujuan untuk mematuhi segala syarat dan peraturan yang ditetapkan untuk mengadakan persembahan di Malaysia. Antara yang terpenting dalam peraturan ini ialah melarang sebarang tingkah laku, percakapan, lirik lagu dan juga pakaian yang mengaibkan atau bersifat lucah.

Peraturan ini telah dipanjangkan kepada agen yang mewakili artis Pitbull untuk diteliti dan dipersetujui. Pihak agen dan artis yang berkenaan telah pun menandatangani surat persetujuan untuk mematuhi semua syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Berdasarkan persetujuan tersebut dan penilaian yang terperinci, maka pihak Puspal telah pun meluluskan permit kemasukan artis ini. Dalam erti kata lain, artis Pitbull berjanji tidak akan melakukan sebarang tindakan, percakapan dan berpakaian yang tidak senonoh jauh lagi menyanyi lagu-lagu berunsur lucah. Manakala, pihak penganjur pula berjanji akan memastikan semua penonton yang menghadiri persembahan konsert pada malam itu akan sentiasa berada dalam keadaan yang terkawal.

Pitbull adalah hanya satu daripada kumpulan-kumpulan artis yang akan membuat persembahan dalam Festival Muzik yang akan diadakan di Genting Highlands pada 15 Mei 2010. Lokasi dan jangka masa persembahan telah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan. Festival Muzik ini melibatkan persembahan daripada DJ dan artis tempatan serta DJ antarabangsa lain. Dalam Festival Muzik ini, persembahan Pitbull hanya 1 jam 30 minit.

Pihak Puspal tidak sahaja berfungsi untuk meluluskan permit, tetapi juga bertanggungjawab untuk memantau dan mengawal selia segala pergerakan artis luar semasa persembahan konsert dan sepanjang artis itu berada di Malaysia, bersama-sama pihak polis. Pemantauan dan kawal selia akan juga dilaksanakan semasa persembahan dan sepanjang artis Pitbull berada di negara ini.

Oleh itu, tambah kenyataan itu segala dakwaan Timbalan Presiden PAS yang membayangkan perkara-perkara negatif akan berlaku tanpa sebarang telitian dan kawalan daripada pihak Puspal adalah tidak benar dan meleset.

Tiada ulasan: