"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri: Saya dianiaya, saya bukan ‘Little Nor Mohamed’

KUALA LUMPUR, 8 Mei:

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menegaskan, beliau tidak terlibat langsung dengan sebarang keputusan dibuat Pos Malaysia Berhad sehingga menyebabkan ia rugi, sebaliknya mendakwa ada usaha mahu “menganiayanya”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang sedih dengan dakwaan dilontarkan sesetengah pihak terhadap dirinya berkata, sebarang keputusan adalah diputuskan oleh lembaga pengarah, termasuk Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah), tanpa perlu merujuk kepada Kementerian Kewangan.

‘‘Di dalam syarikat milik kerajaan (GLC) ada lembaga pengarah dan keputusan dibuat oleh mereka, Khazanah (mempunyai wakil) lembaga pengarah dan dia buat keputusan.

‘‘Saya tidak terlibat langsung. (Dakwaan) Tan Sri Adam Kadir telah dijawab oleh Khazanah. Dakwaan dia tidak benar,’’ kata beliau dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Bekas menteri kewangan itu menjawab dakwaan kerugian yang dialami oleh Pos Malaysia berjumlah RM546 juta sejak beberapa tahun lalu.

Ditanya kenapa beliau mengambil masa yang panjang untuk menjawab dakwaan isu itu, Nor Mohamed berkata, serangan yang dilakukan terhadapnya kini lebih fokus, seolah-olah ada agenda terselindung secara teratur yang dilakukan pihak-pihak tertentu.

‘‘Pada mulanya saya ingat perkara ini biasa sahaja tetapi kemudian kelihatan macam ada agenda terselindung yang dirancang terhadap saya.

“Nampak saya dianiayai, yang menganiayai saya akan mendapat balasan Tuhan. Kita tunggu dan lihat,’’ jelasnya.

Menurut Nor Mohamed, beliau tidak marah tetapi sebaliknya sedih dengan apa yang belaku.

Sementara itu, Nor Mohamed dengan tegas menjelaskan beliau bukan ‘little Nor Mohamed’ yang dilindungi daripada perlu menjawab segala dakwaan, seperti mana digambarkan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

‘‘Saya bukan ‘little Nor Mohamed’, Alhamdulillah saya diberi peluang besar untuk memakmurkan Malaysia dengan maju,’’ katanya.

Kelmarin Zahrain berkata, Nor Mohamed perlu memberi penjelasan kerana skandal itu mencemarkan imej kerajaan dan dilihat sebagai tidak cekap.

Kata Zahrain, tindakan berdiam diri itu juga memberi implikasi negatif kepada kepimpinan sekarang yang mementingkan ketelusan, integriti serta akauntabiliti yang tinggi sejajar dengan konsep pencapaian diutamakan.

Ahli Parlimen itu turut menuntut penjelasan Nor Mohamed mengenai isu pelantikan sehingga lapan individu daripada Danaharta Bhd. (Danaharta) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam GLC.

Mengulas lanjut mengenainya, Nor Mohamed mengakui mempunyai hubungan dengan badan tersebut tetapi pelantikan individu berkenaan dibuat dasar kemampuan mereka yang dianggap mempunyai kepintaran.

‘‘Memang saya mempunyai hubungan dengan badan yang ditubuhkan (Danaharta), tetapi anak-anak Melayu yang dilantik itu bijak dan rajin, mereka bekerja bertungkus lumus, Danaharta memang berjaya (memulihkan ekonomi negara).

‘‘Kepintaran mereka menyebabkan negara cuma menanggung kos 2.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk memulihkan ekonomi berbanding negara lain sebanyak 10 peratus.

‘‘Mereka kemudiannya dilantik ke tempat lain dan ini membuktikan Melayu boleh menjawat jawatan syarikat lain, jadi apa salahnya.

“Ini merupakan sesuatu yang patut dibanggakan,’’ tambah beliau lagi.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: