Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 7 Mei: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyeru kepada mereka yang pernah menjadi mangsa keganasan polis, sama ada baru mahupun lama agar tampil membuat pendedahan.
Baginya, pendedahan kisah yang pernah dialami mangsa, boleh membantu untuk meningkatkan mutu perkhidmatan anggota polis di negara ini.
"Saya menyeru mangsa-mangsa keganasan polis yang baru atau yang sudah lama, tampil mendedahkan kisah ngeri mereka.
"Saya bukan mahu menempelak institusi polis keseluruhannya, tetapi untuk kita secara bersama meningkatkan mutu perkhidmatan polis," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan terbaru seorang remaja,Siti Nasrinda Sumirin, 23 tahun yang mendakwa ditembak polis dalam kejadian di Klang pada Ogos tahun lalu.
Beliau bersama tunangnya dalam kejadian itu cedera di bahagian pinggang dan mengemukakan saman RM1 juta ke atas polis dan kerajaan berhubung kecederaan yang dialaminya.
Manakala tunangnya, yang kini suaminya tidak cedera namun turut menuntut bayaran RM500,000.
Mengulas lanjut pendedahan terbaru itu, Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam berkata, mangsa yang terlibat tidak perlu khuatir untur tampil kerana pihaknya akan membantu.
"Mangsa tidak perlu berasa khuatir untuk membuat pendedahan kerana kita akan membantu mereka.
"Kita yakin dengan pendedahan mereka yang mengalaminya, akan membantu pihak polis lebih berhati-hati mengendalikan kes-kes seperti ini," katanya lagi.
Khalid sebelum ini antara pemimpin yang membawa kehadapan isu sorang remaja 15 tahun, Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis 26 April lalu.
Kes tersebut pada waktu ini sedang disiasat satu panel khas yang ditubuh kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan