"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PPSMI tidak bercanggah dengan perlembagaan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula oleh empat pelajar termasuk anak bekas menteri besar Perak untuk mengisytiharkan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah sejak 2003 sebagai batal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas, Datuk Mohd Zawawi Salleh hari ini.

Beliau membuat keputusan tersebut setelah mendapati surat pekeliling ikhtisas yang dikeluarkan berhubung PPSMI di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

Keempat-empat pelajar terbabit telah mengemukakan permohonan menerusi saman pemula yang difailkan pada 21 Januari 2006.

Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar yang ketika itu pelajar tahun empat, mengemukakan permohonan melalui bapanya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, seorang jurutera yang juga bekas menteri besar Perak.

Selain Mohammad Syawwaal, pemohon terdiri daripada dua pelajar tingkatan tiga, Mohammad Fadzil Nor Mohd. Rosni dan Nur Najihah Muhaimin serta Syazaira Arham Yahya Ariff, pelajar tingkatan empat, melalui bapa masing-masing. Mereka menamakan kerajaan Malaysia yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan selaku responden.

Pemohon dalam saman pemula antaranya mendakwa, hak mereka sebagai pelajar untuk mempelajari dua mata pelajaran itu dalam bahasa kebangsaan telah dinafikan dengan adanya dasar tersebut.

Sehubungan itu, mereka memohon agar mahkamah memerintahkan pihak responden menukar semula dasar itu menurut kehendak dan peruntukan Perlembagaan dan Undang-Undang Bertulis.

Pemohon turut memohon perisytiharan bahawa responden tiada kuasa melaksanakan dasar pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas bertarikh 27 November 2002.
-tvselangor-

Tiada ulasan: