"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lagi saksi sahkan kenyataan Azamuddin

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, pemilik kenderaan yang bergesel dengan kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah, telah bertemu denganya dan menceritakan peristiwa sebelum remaja itu ditembak mati oleh polis pada 26 April.

Khalid berkata, ahli perniagaan tersebut tampil menemuinya kelmarin (Selasa) dan meminta pandangannya berhubung tindakan lanjutnya yang patut diambil.

“Dia asalnya tidak mahu campur. Dia takut direman,” katanya yang enggan mendedahkan indentiti pihak terbabit buat masa ini.

Bagaimanapun, selepas dinasihatkan, Khalid menambah, pemilik kenderaan tersebut membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam di seksyen 11 pada sebelah malam selepas pertemuan tersebut.

Pada 27 April lalu - sehari selepas insiden kematian Aminulrasyid, Khalid dilaporkan telah mendedahkan butiran kandungan laporan polis saksi utama kes itu, Azamuddin Omar, yang berada dalam kereta bersama arwah, pada malam kejadian tersebut.

Dalam aduanya, Azamuddin antaranya mendakwa kenderaan yang dipandu arwah telah bergesel dengan sebuah kereta, menyebabkan beliau dikejar oleh tiga penunggang motosikal, dipercayai rakan kepada pemilik kenderaan itu.

Menurut aduan itu lagi, ketika melarikan diri, mereka telah memotong sebuah kereta polis yang kemudiannya turut mengejar mereka. Azamuddin juga dilaporkan mendakwa, tembakan terhadap Aminulrasyid dilepaskan selepas kejadian tersebut.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam, Khalid berkata, beliau difahamkam seorang penunggang motosikal tersebut turut membuat laporan polis sejurus selepas kejadian tersebut, juga di IPD yang sama.

Menurut Khalid lagi, pemilik kereta tersebut memberitahunya, pada malam kejadian tersebut, keretanya digunakan oleh seorang rakannya dan keluar minum di seksyen 7 bersama tiga penunggang motosikal terbabit.

Tambahnya, kedua-dua laporan tersebut bertepatan dengan apa yang diceritakan oleh Azamuddin dalam laporan polis dan sidang medianya sebelum ini.

Menjawab soalan, Khalid berkata, walaupun kedua-dua pihak terbabit tidak menyaksikan peristiwa ketika Aminulrasyid ditembak, laporan tersebut didakwa dapat membuktikan “konsisten dan tepatnya” versi yang diceritakan kembali oleh Azamuddin.

“Kalau di bahagian awalnya (cerita itu) tepat, takkanlah di akhirnya tidak betul?” soalnya kembali.

Sehubungan itu, Khalid mempersoalkan kenapa “laporan yang telah berada dalam simpanan polis” itu tidak didedahkan kepada umum ketika kerajaan menjamin satu siasatan yang telus akan dilaksanakan dalam kes itu.

“Ketelusan bukannya bermaksud telus terhadap jawatankuasa (pemantau) sahaja, tetapi juga kena telus kepada rakyat,” tambahnya.

-malaysiakini-

Tiada ulasan: