"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

20 pelajar bertempur

SENTUL: Tidak ubah seperti ‘gengster’ muda apabila sekumpulan lebih 20 pelajar sebuah sekolah menengah di sini, bertempur ketika umat Islam sedang berpusu-pusu menunaikan solat Jumaat hingga menyebabkan lebih lima pelajar mengalami kecederaan.

Dalam kejadian sekitar jam 1.40 tengah hari semalam, dua kumpulan pelajar yang masih berpakaian sekolah terbabit bergasak dan bertumbuk selain turut menggunakan topi keledar untuk mencederakan satu sama lain.

Difahamkan, keadaan menjadi tidak terkawal apabila kumpulan pelajar berkenaan bertindak bergaduh di hadapan sebuah stesen minyak sebelum berlanjutan hingga ke kawasan berhampiran pondok menunggu bas berhampiran Batu 5, Jalan Ipoh, di sini.

Salah seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, 22, berkata kejadian pergaduhan terbabit mula tercetus sejak kelmarin apabila dua pelajar saling bergaduh dipercayai berpunca dari salah faham.

“Apa yang saya dengar salah seorang pelajar terbabit melanggar salah seorang lagi pelajar yang sedang memegang cawan minuman hingga jatuh tanpa meminta maaf. “Susulan itu berlaku pergaduhan hingga membawa kepada pertembungan dua kumpulan pelajar. Mereka bertumbuk di kawasan luar sekolah kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam (kelmarin),” katanya.

Menurutnya, kumpulan pelajar yang masih tidak berpuas hati bagaimanapun cuba membalas dendam dengan bergasak sekali lagi di luar kawasan sekolah, semalam.

“Dua kumpulan terbabit yang baru selesai sesi persekolahan pagi dilihat mula bergaduh di hadapan stesen minyak sebelum bertempur di hadapan pondok hentian bas.

“Ketika itu ada pelajar yang berdarah di mulut selain salah seorang lagi dipukul dengan topi keledar. Malah keadaan tidak terkawal apabila pergaduhan itu turut mendapat campur tangan beberapa individu tidak dikenali,” katanya.


Bagaimanapun, tindakan pantas 10 kakitangan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sentul yang kebetulan berada di lokasi kejadian berjaya mengawal serta meleraikan pergaduhan terbabit dari merebak.

“Malah, sepasukan anggota polis turut dilihat memberkas beberapa pelajar yang terbabit dengan pergaduhan itu sebelum dibawa menaiki kereta peronda ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan polis menahan lapan pelajar sekolah terbabit untuk diberi nasihat dan kaunseling sejurus selepas kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kelapan-lapan pelajar lelaki berusia antara 16 tahun dan 17 tahun itu ditahan di sekolah mereka selepas polis dimaklumkan mengenai kejadian pergaduhan itu oleh pihak sekolah.

“Kira-kira jam 1 tengah hari, pihak sekolah menghubungi polis memaklumkan mengenai kejadian pergaduhan itu.

“Apabila tiba, polis dapati pergaduhan itu sudah pun berhenti tetapi lapan pelajar dibawa ke balai untuk diberikan nasihat dan kaunseling,” katanya.

Beliau berkata, kesemua pelajar terbabit kemudian dibebas dan dibenarkan pulang selepas selesai sesi kaunseling dijalankan.

Menurut Zakaria, pihaknya dimaklumkan pergaduhan terbabit tercetus akibat perselisihan faham antara dua pelajar di sekolah berkenaan manakala rakan lain pula bertindak menjadi penonton kejadian itu.

Namun, katanya, tiada kecederaan serius dilaporkan dalam kejadian itu dan setakat ini pihaknya belum membuka kertas siasatan untuk kes berkenaan.
-hmetro-

Tiada ulasan: