"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Usaha bawa sultan ke KL dibatalkan

Rancangan untuk menghantar Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang gering ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjutan, petang tadi dibatalkan.

Menurut sumber, Baginda dan Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Hamid dijadual menaiki pesawat persendirian pada jam 2.30 petang tetapi dibatalkan kerana kapalterbang itu tidak mendapat kebenaran untuk berlepas.

Sultan Kelantan juga dilaporkan mengalami tekanan darah yang tinggi.

Pada 4 Mei lalu, Tengku Anis berkata anggota dan pegawai polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) yang lengkap bersenjata menghalang perjalanannya dan Sultan Kelantan ke Lapangan Terbang Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 7.45 malam di luar Istana Mahkota di Kubang Kerian dan menurut Tengku Anis “polis mengheretnya seperti lembu” dalam usaha memaksanya ke balai polis.

Keluarga diraja itu dikatakan cuba berlepas ke Singapura bagi mendapatkan rawatan susulan untuk Sultan Kelantan.

"Kami begitu takut apabila polis menyerbu kereta kami dan UTK secara paksa cuba mengeluarkan Tuanku walaupun baginda berulang kali bertitah ingin kembali ke Istana, tetapi polis membawa baginda ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian,” titah Tengku Anis.

Raja Perempuan Kelantan itu juga mendakwa terpaksa bermalam di lantai di luar Wad Diraja di HUSM tetapi kemudiannya berjaya memasuki wad berkenaan sebelum menguncikan dirinya.

Usaha dua peguam, Mohamed Haaziq Pillay dan Gobind Singh Deo, yang mendakwa mereka mewakili pasangan diraja itu untuk berjumpa dengan mereka di Kota Bharu, semalam juga gagal.

Dalam pada itu, Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata segala pergerakan Sultan Kelantan perlu mendapat perkenan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra terlebih dahulu.

Tindakan itu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan baginda terkawal dan terjamin.

Arahan itu, katanya dikeluarkan sejajar dengan sikap Tengku Muhammad Faris yang amat menyayangi dan begitu prihatin terhadap keadaan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra yang masih dalam keadaan gering.

Menurut Halim, titah arahan baginda telah dikeluarkan kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi untuk mengambil langkah-langkah melaksanakannya.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan kepada media di pejabatnya, semalam bagi menyampaikan titah Pemangku Raja sebagai makluman kepada rakyat mengenai pergerakan Sultan Kelantan dan keadaan baginda sekarang.

-malaysiakini-

Tiada ulasan: