"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan pelopori Internet Thoyyibah

GegarKelantan
KOTA BHARU, 18 Mei Usaha Kerajaan Kelantan dalam menyediakan pelbagai aspek kearah menjuruskan kebaikan kepada rakyat diteruskan lagi. Kini melalui kerjasama dengan Jaring Communications Sdn Bhd, penggunaan internet dapat dibendung terutamanya bagi mengelak rakyat negeri ini melayari perkara yang tidak berfaedah dan buruk.

Majlis perasmian Internet Thoyyibah tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertempat di Dewan Balai Islam semalam.

Program Internet Thoyyibah ini telah mendapat penajaan dari 21 buah badan korporat serta syarikat milik kerajaan negeri dan Air Kelantan Sdn Bhd telah dipilih sebagai pelayar web yang pertama menggunakan perisian ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat , Sains dan Teknologi Dr.Muhammad Fadzli Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Jaring Dr.Mohamed Awang Lah, Exco negeri,Wakil Rakyat , Pegawai Kerajaan negeri dan pelajar sekolah.

Menurut Dr.Abdullah Internet Thoyyibah merupakan satu-satunya aplikasi pelayar web yang direkacipta oleh Jaring yang merupakan pelopor perkhidmatan internet di negara ini.

“Kebimbangan pengguna internet terutamanya ibu-bapa pada masa kini ialah ancaman seperti bahan lucah, penipuan atas talian, pembulian siber, pemburu seksual dan ketagihan internet yang tidak terkawal”kata beliau ketika berucap di majlis tersebut.

Beliau juga berkata sebahagian dari punca peningkatan jenayah adalah datang dari penyalahgunaan internet dan ini tidak terbatas kepada individu atau sesuatu komuniti sahaja, malahan kerap berlaku di pejabat, sekolah, rumah dan di mana saja.

Melalui kesedaran ini dan tanggungjawab kepada masyarakat, Jaring telah mendapat kerjasama dari kerajaan Kelantan untuk memasarkan aplikasi tersebut dan akan diperluaskan kepada negeri lain pula.

Sementara itu Dr.Muhammad Fadzli pula berkata penggunaan internet di negeri Kelantan masih berada ditahap yang paling rendah di negara ini dan ia bukannya disebabkan kurang minat rakyat tetapi ia berlaku kerana kurangnya pembekal jalur lebar secara menyeluruh.

“Kita dapat makluman terkini dari Talikom ialah perkhidmatan jalur lebar di Kelantan hanya akan mendapat sepenuhnya liputan ialah tahun 2014 dan rakyat Kelantan bukannya miskin untuk memiliki internet, malah penggunaannya oleh anak Kelantan di luar negeri begitu meluas”ujar beliau.

Muhammad Fadzli juga berkata kerajaan sentiasa memikirkan langkah terbaik untuk rakyat negeri ini memiliki internet terutamanya di rumah bagi memudahkan anak-anak menimba ilmu pengetahuan dari internet .

Penggunaan internet yang begitu meluas membolehkan seseorang itu mendapat ilmu pengetahuan dari seluruh pelusuk dunia dengan hanya menekan butang sahaja dan pengawalan penggunaannya amat diperlukan agar perkara yang baik sahaja dapat diambil.

“Kita sedar internet mempunyai dua aspek yang besar iaitu baik dan buruk, oleh itu rakyat kini boleh membuat pilihan bagi mengawal penggunaan internet di rumah, pejabat maupun di mana sahaja dengan memilik perisian Internet Thoyyibah yang dibekalkan oleh Jaring”katanya lagi.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pula ketika berucap merasmikan majlis pelancaran tersebut menyeru agar semua wakil rakyat Kelantan dapat menjadikan internet sebagai sumber menimba ilmu maupun menyebarkan maklumat kepada rakyat.

Beliau juga berharap agar rakyat negeri ini mendapat menafaat dari perisian Internet Thoyyibah seterusnya dapat membendung penyalahgunaan internet.

Kerajaan negeri sentiasa perihatin terhadap usaha mencegah kemungkaran dan penggunaan perisian ini adalah salah satu langkah yang patut mendapat kerjasama sepenuhnya dari rakyat.

Sumber

-tko-

Tiada ulasan: