"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Disyaki samun warga asing, 3 anggota polis ditahan

Zuliaty Zulkiffli
Adzli menunjukkan barang rampasan kes samun melibatkan anggota polis pada sidang media di IPK Kedah. – Foto NSTP
ALOR SETAR: Tiga anggota polis ditahan kerana disyaki terbabit dalam dua kes samun membabitkan warga asing di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian pertama pada 1 Julai lalu, seorang suspek dipercayai pergi ke sebuah rumah di Lorong Aman, Jalan Langgar dengan menunggang motosikal jenis skuter sambil memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis.

Beliau berkata, suspek turut menunjukkan pakaian polis yang dipakai di dalam jaket sebelum meminta pengadu menyerahkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik mangsa, isteri dan tiga anak mereka.

“Mangsa menyerahkan kad UNHCR mereka kepada suspek tetapi lelaki itu mengambil telefon bimbit mangsa kerana tidak mahu dirakam.

“Suspek juga didakwa membuka sepasang subang emas daripada telinga isteri pengadu dan memasukkan ke dalam poket seluarnya.

“Selepas menyerahkan semula telefon bimbit dan semua kad UNHCR kepada lelaki itu, dia kemudian beredar dengan motosikalnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Adzli berkata, mangsa yang tidak berpuas hati kemudian membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan suspek berusia 26 tahun pada jam 12.30 tengah hari, 2 Julai lalu.

“Semakan mendapati suspek bertugas di IPK Kedah, tiada rekod jenayah lampau. Kita merampas kad kuasa PDRM, dua telefon bimbit, sepasang subang emas, motosikal dan lain-lain barang untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adzli berkata, dua lagi anggota polis dari Perlis ditahan selepas didakwa merampas wang tunai RM1,750 ketika menjalankan pemeriksaan di penempatan etnik Rohingya di Padang Sera pada 27 Jun lalu.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan pada hari sama selepas melarikan diri dari tempat kejadian.

Tiada ulasan: