"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis dikecam halang petugas media bertugas

Harakahdaily
KOTA BHARU, 2 Ogos:
Pelbagai pihak melahirkan rasa dukacita ekoran tindakan polis menahan dua wartawan yang bertugas pada perhimpunan aman membantah ISA di Dataran Stadium Sultan Mohammad ke-IV malam tadi.

Mereka menyifatkan tindakan menahan wartawan sedang bekerja mencabuli kebebasan bersuara yang termaktub dalam perlembagaan.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, tidak sepatutnya wartawan yang sedang bertugas ditahan.

Katanya ia langsung tidak mencerminkan semangat 1Malaysia seperti dilaung-laungkan perdana menteri.

“Pasukan keselamatan kena membezakan di antara orang awam dengan petugas media kerana mereka datang untuk bertugas dan bukan hanya seronok-seronok.

“Bukti kad media yang dipakai sudah cukup untuk membezakan di antara orang awam atau wartawan, namun dalam kes malam tadi polis enggan menerima penjelasan diberi sehingga mahu segala kes diselesai di balai,” katanya di sini.

Malam tadi dua wartawan akhbar alternatif Salmah Mat Hussain dari Harakah dan Rizal Tahir (harakahdaily) ditahan ketika sedang bertugas membuat liputan perhimpunan membantah ISA.

Lebih mengejutkan lagi apabila anak mereka berusia 15 tahun yang berada dalam kereta juga ditahan dan dibawa ke ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan.

Difahamkan mereka ditahan ketika berjalan ke kereta untuk pulang selepas polis meminta orang ramai yang hadir bersurai.

Beliau kemudian dibebaskan kira-kira jam 2.45 pagi dengan jaminan polis setelah disoal siasat.

Mohd Zaki dan seorang peguam, Abdul Rashid Yah hadir ke IPK menjaminkan lima yang ditahankan termasuk wartawan terbabit.

Mohd Zaki yang juga Adun Kelaboran berkata, beliau difahamkan penganjur yang terdiri di kalangan anak-anak muda menghentikan program berkenaan setelah diarah pihak polis.

Katanya, hanya deklamasi sajak dan membaca deklarasi membantah ISA yang sempat diadakan sebelum diarahkan polis bersurai.

”Saya berasa dukacita dengan apa yang berlaku malam tadi kerana tidak sepatutnya petugas media turut diheret sama. Ini boleh memberi tanggapan buruk masyarakat kepada anggota keselamatan.

”Sedangkan dalam konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu petugas media dilindungi ketika membuat liputan di medan perang,” katanya.

Seorang wartawan yang enggan dikenali melahirkan rasa terkejut terhadap apa yang berlaku.

Kata beliau soal program berkenaan ada permit atau tidak itu tanggungjawab pihak penganjur dan bukannya perlu dibeban kepada petugas media.

Tiada ulasan: