Calon Umum Pro-Mahasiswa (pro-M) Masturah Abu Bakar yang dilaporkan hilang petang kelmarin, telah ditemui di sebuah masjid di Bangi kira-kira jam 12.30 malam tadi - beberapa jam selepas kumpulan itu mengadakan sidang media.
Menurut seorang calon umum Mohd Syahid Mohd Zaini berkata ketika Masturah ditemui, beliau dalam "keadaan lemah dan tidak mampu untuk berbicara panjang".
Mohd Syahid berkata Masturah (kanan) sendiri yang menghubungi ibunya dengan meminjam telefon bimbit orang yang berada berdekatan masjid berkenaan.
Menurut Mohd Syahid panggilan itu dibuat kira-kira jam 11.19 malam tadi.
Susulan itu, ibu-bapa Masturah dan wakil calon Rohayu Rosli - yang bersama-sama dengan pelajar mengadakan solat hajat - bergegas ke masjid berkenaan untuk mengambil dan membawanya pulang.
"Beliau kini berada bersama ibu-bapanya di Sungai Buloh... Dia sekarang (masih) trauma, tidak mampu untuk bercerita panjang mengenai insiden itu," katanya dalam satu sidang media.
Sementera itu, sebanyak 18 pusat pengundian termasuk enam fakulti di Universiti Malaya (UM) dijadikan tempat mengundi dalam pilihan raya kampus itu hari ini.
Bagi pelajar-pelajar yang tinggal di kolej kediaman, pihak jawatankuasa pemilihan menetapkan pengundian dijalankan di kolej kediaman masing-masing.
P'raya muram dan perlahan
Sebanyak 12 kolej kediaman terdapat di kampus ini.
Manakala pelajar yang tinggal di luar kampus, mereka diarahkan untuk mengundi di enam pusat pengundian yang tetapkan.
Enam fakulti tersebut adalah Fakulti Sains, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Fakulti Alam Bina, Akademi Pengajian Melayu, Fakulti Bahasa dan Linguistik dan Fakulti Perubatan.
Sebelum ini, Malaysiakini difahamkan pelajar yang tinggal di luar kampus mengundi di Dewan Tunku Canselor (DTC).
Ekoran itu, Tinjauan Malaysiakini ketika ini mendapati suasana pengundian kelihatan "muram dan perlahan" di universiti ini.
Tinjauan Malaysiakini di Fakulti Sains, perjalanan pengundian masih lagi lembab pada jam 9.30 pagi ini.
Kelihatan seorang atau dua baru sahaja keluar daripada pusat pengundian tersebut.
Pusat pengundian mula dibuka jam 9 pagi dan berakhir jam 5 petang.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan