"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat boleh jatuhkan saya dengan izin Allah, bukan Umno

Hazayani Zakaria
SELAYANG, 15 Mei: Umno BN sudah hilang rasa hormat terhadap majlis-majlis agama kerana keghairahan mereka mengaibkan dan menjatuhkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara ini terbukti apabila Umno mengedarkan video cakera padat (VCD) seks yang dituduh kononnya pelakunya ialah Anwar di setiap program PKR termasuk di program ‘Munajat Rakyat Menolak Fitnah’ bersama ulama besar dunia, Dr Sheikh Wahbah az-Zuhaily dari Syria, di Stadium Selayang malam tadi.

Anwar dalam ceramahnya berkata, Umno BN sudah membuktikan bahawa mereka akan menggunakan apa sahaja cara untuk menjatuhkannya dan mengekalkan kuasa mereka termasuk 'merampas' semula Selangor.

"Di setiap program solat hajat, ceramah saya, Umno edar video lucah. Apa Umno tak ada kerja lain selain nak 'membogelkan saya'?" soalnya di hadapan kira-kira 3,000 hadirin yang hadir.

Terdahulu, program dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah disusuli dengan tazkirah maghrib bertajuk Qazaf dan Sumpah Laknat – ‘Antara Syariat dan Adat’ yang disampaikan oleh Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Ustaz Abd Ghani Shamsudin.

Program diteruskan dengan solat Isyak berjemaah dan solat hajat dipimpin Dr Sheikh Wahbah sendiri.

Dr Sheikh Wahbah dalam ceramahnya selepas itu berpesan kepada hadirin agar istiqamah dalam berdoa dan menetapkan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doa hamba-Nya jika kita menurut permintaan-Nya dan beriman dengan penuh keikhlasan.

Anwar dalam ceramahnya turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Dr Sheikh Wahbah yang sanggup datang dari Syria semata-mata untuk bersama-sama rakyat bermunajat menolak fitnah Umno BN.

Beliau berkata, dalam pada Umno BN bercakap soal moral dan akhlak pemimpin, mereka sendiri tidak menjaga adab dan akhlak sehingga sanggup mengaibkan orang lain.

"Pemimpin Umno nak cakap soal akhlak dengan kita? Apa hukumnya sebar video lucah kepada umum?

"Tidak cukup saya dipukul separuh mampus dalam penjara, dibogelkan, sekarang saya dikaitkan dengan video lucah pula.

"Saya nak tegaskan, yang boleh jatuhkan saya bukan Umno, bukan BN tapi dengan kuasa rakyat dengan izin Allah," katanya disambut sorakan dan tepukan gemuruh hadirin.

Tiada ulasan: