"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Catatan Pangkor buat menteri

Muhaimin Sulam

Ini catatan yang terlahir seusai lawatan kerja Salahudin Ayub ke Pulau Pangkor pada hujung minggu lalu. Dia hadir untuk sesi temu mata dengan kami.

Mungkin perjumpaan itu agak lewat namun ia tetap bermakna. Setelah lebih tujuh bulan menjadi menteri, itulah waktu dia berkesempatan menadah telinga untuk mendengar cerita dan cita-cita orang Perak.

Agenda pengukuhan pemerintahan melalui peranan parti agak jarang dibincangkan secara formal. Hal itu sebenarnya penting kerana ada fikiran yang menganggap hanya menteri, waibi dan pihak berkuasa yang berhak mengukuhkan pemerintahan.

Tetapi mereka gagal menyedari bahawa kadang-kadang golongan itulah yang boleh menjadi golongan yang melemah serta meruntuhkan.

Sekurang-kurangnya dengan adanya pertemuan di Pulau Pangkor itu dapatlah ditampung kelompangan atau kekurangan dalam memobilisasi potensi parti di akar umbi. Setidak-tidaknya Salahuddin dilihat memahami makna keutamaan dalam jemaah siasah.

Salahuddin memilih untuk bertemu di dewan perbincangan secara santai sambil menikmati deruan angin pantai dan suara ombak. Dia boleh sahaja memilih kedai mamak atau kedai kopi hipster untuk bersembang dengan kawan-kawan dalam senggang masa rasminya sebagai menteri. Dia menteri.

Biar berbeza dengan sesetengah pihak, meraikan dan menghormati perbezaan itu sangat penting. Itulah yang membezakan antara kami dengan Salahuddin.

Dia di atas, kami di bawah; tapi itu bukan bermakna wujud takah-takah pemisah sebagai darjat kehidupan.

Semalaman dia bertemu dengan pimpinan akar umbi Perak. Salahuddin masih Salahuddin yang dulu - bicaranya teratur dan fokus. Bijak dia memainkan tutur bicara dengan kata dan rasa.

Tetapi jangan lupa bahawa kami juga bijak mengukur panjang pendek akalnya.

Masyarakat demokrasi memang kritis. Jika tidak berdepan, mereka berselingkuh di belakang.

Banyak menuntut kesabaran

Tidak semua dipenuhi tetapi sekurang-kurangnya rasa kesal, kecewa dan resah dikikis sedikit sebanyak. Bebanan sebagai parti pemerintah tidak seimbang dengan keupayaan dan peluang yang ada.

Politik itu banyak fatamorgananya. Bimbang cinta menjadi benci. Berahi kehilangan semangat. Kesetiaan bertukar khianat.

Tiba-tiba di celah basa basinya itu, teringatkan deklamasi Ken Zuraida pada puisi Ali Topan yang bertajuk Kepada Cinta:

Kepada cinta aku bertanya: "Mengapa benci marak di sini?"
Kepada doa aku bertanya: "Mengapa dusta laris di sini?"
Kepada berita aku bertanya: "Mengapa fakta dikhianati?"
Kepada sastera aku bercerita tentang kata-kata yang berubah arti.

Cinta berbisik kepada kepada sunyi
Banyak orang gelap nurani.

Doa berpesan pada sepi
Banyak orang berlagak suci.

Ceh!

Puisi itu benar-benar menghentak kemunafikan manusia sama ada dalam bercinta, beribadah, berhubungan hatta dalam menikmati keindahan dan keasyikan.

Itu antara mesej Salahuddin kepada kami yang boleh dikongsi di sini. Memang dia tidak berpuisi begitu tetapi kurang lebih kata-kata yang boleh dihampar sedemikianlah.

Oleh kerana itu orang bawahan dan pertengahan dalam parti perlu meningkatkan fikah memerintah terutamanya dalam kemahiran syariah negosiasi. Juga menyantuni perkongsian kuasa dan bernegara dengan rakan dan bekas lawan.

Banyak yang menuntut kesabaran dan kearifan bersiasah. Usah dihitung pengorbanan rasa dan harta.

Fikah melawan, bertempur dan berperang bukanlah yang hendak dipraktikkan kecuali sekadar sebagai ilmu, kemahiran yang boleh dikongsikan dalam melayan sejarah bersama sewaktu zaman silam.

Hindarkan diri daripada berlawan sesama kawan di bahtera sendiri. Bukan apa, dibimbangi darah kawan itulah yang nanti menenggelamkan bahtera, bukan ombak di luar sana.

Salahuddin ialah menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup yang dahulunya dikenali sebagai  kementerian hal ehwal pengguna. Entah kenapa istilah ‘pengguna’ tidak lagi digunakan secara rasmi pada nama kementerian itu.

Mungkin enggan diasosiasi dengan nafas sosialis yang akrab dengan konsumerisme?

Pada masa sama perlu diinsafi bahawa Istilah ‘rahmah’ yang didukung Salahuddin ke mana-mana itu belum pasti memiliki kuasa politik. Ia lebih kepada kecenderungan semasa.

Kementerian dia adalah kementerian berkaitan hal-hal menjaga mulut, perut dan usus rakyat.

Dia sewajarnya memasukkan silibus hal ehwal politik dalam kurikulum kementerian. Apa makna sebuah negara demokrasi dan madani jika masyarakatnya naif tentang kuasa pengguna dan menggunakan kuasa?

Tiada jalan singkat untuk bahagia

Salahuddin wajar mendidik rakyat menjadi pengguna kuasa politik daripada dimanupulasi politikus penunggang idealisme beragama dan bangsa.

Kewajaran ini adalah fundamental kepada pembinaan masyarakat madani.

Pentas demokrasi ini adalah pasaran kuasa yang terbuka luas. Pemain-pemainnya bukan setakat ahli politik. Sang birokrat, istana, sarjana, lebai, artis dan segala macam rupa yang menjadi warga pada tanah air ini terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam meraih kuasa.

Makenisme pasaran kuasa dan barangan tidak berdasarkan permintaan dan penawaran yang dapat diukur melalui angka dan fakta.

Pasaran kuasa dan barangan lebih banyak ditentukan oleh sentimen, propaganda dan madu bersalut racun daripada angka dan fakta.

Dalam dunia sebegini, tiada jalan singkat untuk berasa bahagia, adil dan sejahtera melainkan terus berpegang bara kesabaran selagi termampu.

Inilah yang boleh kami di bawahan lakukan.

Jangan biarkan kesabaran itu diasak sehingga ke dinding, dan kebijaksanan tersingkir!

Tiada ulasan: