"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Elok KJ dengar je nasihat Ramli Sarip

Mohsin Abdullah

OK, kita semua sudah tahu Khairy Jamaluddin bertemu Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin pada 19 Jun lalu berhubung pelawaan menyertai gabungannya. Tidak ada kenyataan rasmi menyusuli pertemuan itu, baik daripada Muhyiddin mahu pun Khairy. Cuma media memetik sumber yang mendakwa Khairy sudah memaklumkan pendirian kepada Muhyiddin dan presiden Bersatu itu pula dikatakan menerima pendirian berkenaan.

Tidak dijelaskan apa maksud Muhyiddin ‘menerima’ pendirian Khairy itu. Adakah menerima bermaksud menghormati pendirian Khairy, atau sekadar terima seperti orang terima surat, terima jemputan, dan sebagainya. Apa pendirian Khairy juga tidak didedahkan.

Orang nombor dua Muhyiddin dalam Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, dipetik Malaysiakini berkata pertemuan Muhyiddin-Khairy “berakhir dengan positif”. Namun beliau turut berkata “saya tidak hadir sama jadi saya tidak boleh bercakap banyak tetapi saya tahu ia pertemuan yang baik”. Bagi saya jika tidak hadir, lebih molek jangan cakap langsung.

Apa pun pada 21 Jun lalu, Khairy menerusi podcastnya Keluar Sekejap memberi gambaran beliau menolak tawaran Muhyiddin. Ini kesimpulan pelbagai pihak berdasarkan jawapan Khairy kepada pertanyaan yang diaju Shahril Hamdan, co-host Keluar Sekejap.

Shahril mahu tahu sama ada Khairy sudah memberi jawapan muktamad kepada Muhyiddin. Jawab Khairy beliau sudah melakukan itu tetapi bersetuju untuk mempertimbangkannya lebih lanjut atas rasa hormat kepada Muhyiddin:

“Saya telah jumpa beliau dan beri pandangan saya kepada beliau dan beliau minta saya fikir lagi. Saya pun setuju untuk fikir lagi dan saya pun minta beliau sedikit masa.”

Pada hemat saya Khairy datang ke pertemuan itu dengan keputusan muktamad. This is obvious. Keputusan “muktamad” itu ialah tolak pelawaan Muhyiddin. Ini jelas kerana jika tidak apa perlunya Muhyiddin meminta Khairy “fikir lagi”, betul tak? Nyata Muhyididn mahu Khairy mengubah pendirian dan datang semula bertemu beliau dengan membawa keputusan yang beliau idamkan.

Tetapi mungkinkah Khairy juga mahu Muhyididn “fikir lagi” dan datang semula dengan tawaran yang lebih menarik? Tidak dapat dipastikan setakat ini. Bagaimanapun berdasarkan kata-kata Khairy sendiri ketika menjawab pertanyaan Shahril, jelas ini sesuatu yang tidak ‘cantik’ buat Khairy.

Meskipun beliau setuju “fikir lagi” atas rasa hormat kepada Muhyiddin yang pernah menjadi bosnya dalam kerajaan suatu ketika dahulu, ‘fikir lagi’ boleh membawa elemen negatif. Contohnya Khairy boleh dilihat sebagai politikus yang tidak punya pendirian, tidak tegas, boleh berdolak dalik atau dipujuk rayu yang berkemungkinan boleh mengubah pendirian ‘muktamad’.

Jika itu tidak bagus untuknya, lebih buruk ialah sesuatu yang dilapor The Star beberapa hari lalu. Memetik sumber akhbar itu melaporkan Khairy akan kekal tanpa menyertai mana-mana parti tetapi “akan berkempen untuk PN” pada enam pilihan raya akan datang.

Dakwaan sumber yang dipetik The Star itu tidak dapat disahkan. Jika benar Khairy tidak menyertai Bersatu atau PAS atau Gerakan tetapi akan kempen untuk PN, beliau akan dilihat sebagai politikus play safe – tidak berani ambil risiko. Khairy yang cukup fasih berbahasa Inggeris pasti tahu akan erti “you can’t have your cake and eat it”.

Situasi yang terbayang ialah dengan berkempen untuk PN, Khairy akan mendapat ganjaran jika PN menang besar pada PRN di negeri tertentu. Tetapi beliau tidak boleh dipersalahkan atau dipertanggungjawabkan jika PN tewas, kerana beliau bukan ahli parti PN. Bijak tetapi teringat juga saya akan ungkapan “berenang dua kolam”. Orang yang dilihat berenang dalam dua kolam umumnya tidak digemari ramai.

Khairy baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Menurut Khairy, beliau menerima undangan Pejabat Perdana Menteri dan bertemu Anwar bersama individu lain termasuk Naib Presiden Umno Johari Ghani, yang pernah memegang jawatan menteri kewangan II dalam pentadbiran Najib Razak.

“Ini bukan tentang politik tetapi lebih kepada idea berkaitan ekonomi dan sebelum mesyuarat berakhir, perdana menteri berkata beliau mungkin akan memanggil semula kumpulan saya dalam masa sebulan untuk melihat draf naratif ekonomi Madani untuk kami teruskan memberi input. Jadi bagi saya tiada masalah walaupun saya bukan ahli PH atau BN yang menjadi teras kerajaan sedia ada,” Khairy dipetik berkata. Bagi saya ini sesuatu yang boleh dipuji.

Namun berbalik soal langkah politik beliau seterusnya. Khairy tidak punya banyak pilihan seperti yang dihuraikan artikel saya siaran FMT 14 Jun lalu bertajuk “Khairy Jamaluddin di persimpangan”.

Pun begitu Khary mesti buat keputusan muktamad dan menjelaskan pendirian secepat mungkin, sama ada terima atau tolak tawaran Muhyiddin atau sertai parti lain atau kekal ahli politik tanpa parti.

Teringat pula lagu “Jangan Tunggu Lama-lama”, nyanyian Ramli Sarip:

“Jangan tunggu lama lama nanti lama lama ia makin menyeksa.”

Elok rasanya Khairy meneliti lirik itu.

Tiada ulasan: