"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Amar: Kelantan kaya jika PAS kekal kerajaan negeri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kelantan berpeluang menjadi negeri kaya jika PAS kekal sebagai kerajaan negeri kerana terdapat banyak unsur nadir bumi (REE), kata Naib Presidennya, Mohd Amar Nik Abdullah.

Tetapi katanya, pengurusan dan dasar REE bernilai hampir RM125 bilion perlu diperkemaskan untuk memberi banyak kelebihan kepada Kelantan.

Justeru, pakar dari seluruh negara akan diminta memberi pandangan bagaimana kerajaan negeri boleh menguruskan hasil bumi itu dengan lebih mampan.

“Dasar pengeluaran unsur nadir bumi sudah ada di peringkat Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang akan diikuti kerajaan negeri.

“Kita akan berhadapan cabaran dalam menguruskan REE, kepakaran atau ahli profesional diperlukan dan Insya-Allah selepas PRN, kita akan susun sebaiknya pengurusan hasil bumi berkenaan.

“Kerajaan sebelum ini dikaitkan dengan kebergantungan kepada hasil balak, jadi bila adanya REE, selepas ini kayu tidak lagi perlu ditebang dan itu sememangnya menjadi perancangan kerajaan negeri,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata demikian dalam ceramah di pekarangan Pasar Tok Guru, Cabang Tiga, Pengkalan Chepa, Kelantan, malam tadi.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, perbincangan kerajaan ada masanya tidak dimaklumkan kepada rakyat atas isu teknikal.

Katanya, PAS akan memperkenalkan calon baharu pelbagai latar belakang untuk PRN, sejajar objektif memperkemaskan pengurusan REE untuk meraih keuntungan maksimum.

“Kita perlu pastikan calon yang diperkenalkan bukan saja pakar mengenai agama, tetapi dalam bidang lain. Mereka juga perlu diluluskan Majlis Syura Ulama, sebelum disemak semula di peringkat bawah bagi menentukan mereka benar-benar layak.

“Kita akan pastikan ada pelapis bijak untuk mentadbir negeri lebih baik, selain menyasarkan kemenangan enam negeri pada PRN nanti, seterusnya menjadi pucuk pimpinan baharu dalam kerajaan persekutuan.”

Tiada ulasan: