"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saman wanita Mongolia terhadap suspek rogol dibicarakan Mei 2024

Hidir Reduan Abdul Rashid
story-image
Kes saman dua wanita Mongolia terhadap seorang suspek kes rogol yang juga merupakan bekas pegawai polis akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada penghujung Mei tahun depan.

Mahkamah menetapkan selama lima hari bermula 27 hingga 31 Mei 2024 untuk mendengar saman sivil yang difailkan terhadap bekas inspektor polis, Hazrul Hizham Ghazali.

Peguam yang mewakili plaintif, Nathalie Annette Kee Xuan Li mengesahkan tarikh perbicaraan berkenaan dengan Malaysiakini petang ini.

Menurutnya, saman sivil tersebut akan didengar oleh pesuruhjaya kehakiman Mohammad Johan Lee.

Pada 23 April 2020, dua warga Mongolia berkenaan memfailkan saman sivil untuk menuntut ganti rugi daripada Hazrul atas dakwaan penahanan secara haram dan rogol sebulan sebelum itu.

Mahkamah kemudian membatalkan saman berkenaan selepas wanita terbabit gagal membayar RM70,000 yang dimohon Hazrul sebagai jaminan kos susulan status mereka sebagai warga asing.

Plaintif kemudiannya membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Peguam mewakili plaintif akhirnya berjaya mengumpul dana bagi membayar kos berkenaan, sekiranya rayuan itu tidak berjaya.

Pada Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengenakan deposit sebanyak RM70,000 dan mengembalikan semula saman itu ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan juga menganugerahkan plaintif sebanyak RM7,000 sebagai kos guaman.

Pada April 2020, Hazrul didakwa atas tuduhan menahan dua wanita Mongolia secara tidak sah dan merogol mereka berulang kali di sebuah hotel di Petaling Jaya dalam dua bilik berasingan pada 11 April 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Selain itu dia juga dituduh memperdagangkan kedua-dua wanita itu bagi maksud eksploitasi seks di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran 2007, yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara tiga hingga 20 tahun.

Tiada ulasan: