Ho Kit Yen
Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah (kiri) berkata salah satu suara dalam rakaman audio itu seperti bekas perdana menteri Najib Razak.
KUALA LUMPUR: Empat daripada sembilan rakaman audio dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020 menampilkan seorang lelaki yang “bersuara” seperti Najib Razak, kata bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah.
Ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1MDB membabitkan bekas perdana menteri di Mahkamah Tinggi, Irwan berkata beliau tidak terlibat dalam perbualan antara beberapa individu dalam rakaman audio tersebut dan tidak dapat mengesahkan mereka.
“Saya tidak berada di situ (semasa perbualan). Saya mendengar dua suara dalam setiap empat rakaman, dan salah satunya bersuara seperti Datuk Seri (Najib),” katanya.
Terdahulu mahkamah membenarkan pendakwaan memainkan rakaman audio itu kepada Irwan untuk beliau mengenal pasti suara di dalamnya.
Dalam sidang media pada Januari 2020, ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya, mendedahkan sembilan rakaman audio yang didakwa berkaitan dengan kes SRC International dan 1MDB.
Rakaman tersebut didakwa menampilkan Najib, isterinya Rosmah Mansor, bekas timbalan pendakwa raya Dzulkifli Ahmad dan beberapa individu terkenal lain.
Pihak pendakwaan ingin memasukkan rakaman perbualan antara Najib dan individu lain itu untuk mematahkan hujah pembelaan bahawa wang yang masuk ke dalam akaun bank peribadi Najib adalah sumbangan.
Irwan berkata, individu lain yang bercakap dengan Najib dalam tiga rakaman tersebut bersuara seperti individu dari Timur Tengah.
Katanya dalam rakaman terakhir, lelaki yang bercakap dengan Najib dalam campuran bahasa Melayu dan Inggeris bersuara seperti Amhari Efendi Nazaruddin, bekas pegawai khas Najib.
Amhari sudah memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1MDB.
Apabila ditanya peguam Najib, Shafee Abdullah, sama ada beliau percaya suara dalam rakaman itu palsu menggunakan kecerdasan buatan, Irwan memberitahu mahkamah beliau bukan pakar dalam perkara tersebut.
Irwan berkata, beliau pertama kali mendengar empat rakaman itu ketika SPRM memanggilnya untuk menyediakan kenyataan saksi bagi perbicaraan itu.
“Mereka (SPRM) bertanya adakah saya boleh mengenal pasti suara-suara itu,” katanya.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dakwaan penyalahgunaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam dan Ahmad Akram Gharib mewakili pihak pendakwaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 7 Julai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan