"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas calon BN didakwa 77 tuduhan tipu jual beli rumah, tanah

FMT Reporters
Hamidah Muhamad ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Taiping di mana dia mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret atas 77 tuduhan menipu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang wanita yang pernah bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU15 didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan di Taiping atas tuduhan menipu jual beli rumah dan tanah yang tidak wujud.

Hamidah Muhamad, 47, didakwa atas 77 tuduhan menipu dan memperdaya mangsa untuk membeli hartanah itu.

Dia dituduh menyebabkan empat mangsa mengalami kerugian kira-kira RM350,000, lapor Sinar Harian.

Hamidah mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan.

Bagi 38 tuduhan pertama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Hamidah didakwa menipu tiga beradik Razhiyah, Robiah dan Faridah Salleh, serta seorang lagi individu dengan memperdayakan mereka membeli sebuah rumah dan sebidang tanah di Mukim Assam Kumbang, Taiping hingga mendorong mereka memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun.

Dia dituduh menyebabkan tiga beradik itu dan Efendi Zainuddin mengalami kerugian lebih RM200,000, antara 2021 hingga 2022.

Tuduhan dibacakan dihadapan Majistret R Prabakaran, yang membenarkan Hamidah diikat jamin RM12,000 dengan dua penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Di mahkamah berasingan, ibu kepada empat anak itu juga mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nur Atiqah Sapari atas 39 tuduhan menipu tiga beradik itu menyebabkan mereka mengalami kerugian lebih RM150,000.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 31 Julai ini untuk pengurusan kes.

Menurut The Star, Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Siti Nur Amalina Harun manakala Hamidah diwakili S Ingaradivel.

Pada PRU15 Hamidah dinamakan sebagai calon BN untuk bertanding di DUN Jelapang di Perak. Hamidah daripada Makkal Sakthi, parti yang dianggap sebagai “Friends of BN.

Bagaimanapun, Hamidah tewas kepada calon DAP dalam saingan tiga penjuru.

Tiada ulasan: