"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri KDN: Razaruddin, Ayob Khan akan tangani isu 3R

Hariz Mohd

Ketua Polis Negara Razarudin Husain dan Timbalannya Ayob Khan Mydin Pitchay yang baru dilantik hari ini diberitahu untuk memberi tumpuan menangani ucapan kebencian yang menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata ini antara perkara yang perlu menjadi keutamaan dua pegawai tertinggi pasukan polis itu dalam menggalas tugas baru mereka.

“Isu ini dilihat membimbangkan malah ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini ada membincangkan mengenai perkara ini,” katanya.

"Itu jelas beri isyarat pada Razarudin dan Ayob Khan, kalau julang awal tugas mereka berdua, kena address isu ini dengan kemas sekali," kata Saifuddin lagi.

Menteri dalam negeri berkata demikian semasa menyampaikan ucapannya pada majlis penyerahan tugas antara Razarudin dan KPN Acryl Sani Abdullah Sani yang akan bersara, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut semasa sidang media kemudiannya, Saifuddin berkata kenyataan menyinggung perasaan yang menyentuh 3R semakin membimbangkan di negara hari ini.

Justeru, tegasnya, perlu perhatian lebih untuk menangani masalah itu.

Tiada ulasan: