"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah perintah Zuraida bayar RM10 juta kepada PKR

Hidir Reduan Abdul Rashid

Mahkamah sivil memerintahkan Zuraida Kamaruddin membayar RM10 juta kepada PKR kerana berpaling tadah daripada parti itu selepas menang kerusi parlimen Ampang buat kali ketiga pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pagi ini membenarkan tuntutan mahkamah bon RM10 juta daripada PKR terhadap bekas menteri itu, yang kehilangan kerusi Ampang kepada wakil PKR Rodziah Ismail pada PRU15 tahun lepas.

Peguam parti itu Navpreet Singh mengesahkan keputusan yang disampaikan oleh hakim mahkamah sivil Akhtar Tahir semasa prosiding dalam talian.

“Mahkamah membenarkan tuntutan plaintif (PKR) yang meminta defendan membayar RM10 juta kepada pihak di bawah bon itu.

“Mahkamah mendapati bon itu adalah kontrak yang sah dan mengikat. Mahkamah berpandangan bahawa RM10 juta itu bukan tidak seimbang tetapi jumlah yang munasabah untuk bertindak sebagai sekatan bagi menghalang ahli parti daripada bertindak bertentangan dengan kepentingan parti; dan bahawa jumlah yang kurang tidak akan menjadi penghalang.

"Kos RM50,000 juga diberikan memihak kepada plaintif," kata Navpreet kepada media.

Semasa perbicaraan penuh tindakan sivil itu pada 29 Mac, Setiausaha Agung PKR yang juga Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi keterangan bahawa Zuraida menang kerusi Ampang kerana bertanding di bawah panji parti dan bukan atas kekuatan sendiri.

Di mahkamah perbicaraan pada 30 Mac, Zuraida memberi keterangan bahawa dia tidak mengetahui butiran bon RM10 juta itu dan mendakwa dia dipaksa menandatanganinya sebelum bertanding di kawasan parlimen itu.

Zuraida merupakan bekas naib presiden PKR yang kemudian menyertai Bersatu dan selepas itu menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta kini terlibat dalam pertikaian dengan Presiden PBM Larry Sng.

Tiada ulasan: