"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KJ: "Muhyiddin suruh saya fikir lagi'

Muhammad Yusri Muzamir
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Khairy Jamaluddin memberi bayangan seolah-olah beliau tidak akan menerima pelawaan untuk menyertai BERSATU seperti dikemukakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Bercakap pada podcast 'Keluar Sekejap', bekas Menteri Kesihatan itu mengakui Muhyiddin meminta beliau untuk berfikir lagi sejurus menyuarakan pandangannya mengenai tawaran dikemukakan Ahli Parlimen Pagoh.

"Saya fikir lagi. Saya pun sudah bersetuju untuk berfikir lagi dan saya pun minta beliau (lagi) sedikit masa. Bagi saya ada (jawapan muktamad) tetapi beliau (Muhyiddin) minta supaya saya berfikir lagi.

"Dewan Undangan Negeri (DUN) pun belum dibubarkan, jadi ada sedikit masa lagi untuk apa-apa berlaku.

"Bagi saya ada kata putus, tetapi apabila pemimpin yang saya sanjungi minta saya fikirkan lagi. Kita fikirkan lagilah," kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Muhyiddin pada Mei lalu, mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU kepada Khairy, jika beliau mahu menyertai parti itu.

Sementara itu, Khairy mendakwa sebahagian besar masyarakat di negara ini kurang senang terhadap Pakatan Harapan (PH) susulan pendekatan digunakan laskar siber (cybertrooper) gabungan berkenaan.

Beliau antara lain mendakwa kumpulan laskar siber PH juga menjadi liabiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan pendekatannya yang gemar menyebarkan berita palsu dengan tujuan menimbulkan persepsi.

"Antara sebab saya dan sebahagian besar rakyat tidak berapa senang dengan PH adalah kerana perangai laskar siber PH.

"As much as mereka fikir mereka (laskar siber) cuba membantu kerajaan sedia ada, tetapi sebenarnya mereka adalah liabiliti kepada Perdana Menteri," katanya.

Dalam pada itu, Khairy turut menafikan dakwaan beliau ditawarkan jawatan Timbalan Presiden BERSATU dan dicalonkan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara.

"Banyak spekulasi dan banyak juga yang membuat pengumuman bagi pihak saya, termasuk pihak laskar siber PH. Menyebarkan berita palsu kononnya saya dilantik sebagai Timbalan Presiden (Lantikan) BERSATU dan diberi kerusi Kota Damansara.

"Pastinya ini akan memberikan persepsi dan selepas itu akan terima banyak komen.

"Modus operandi mereka mudah, iaitu mencipta berita palsu dan disebarkan hingga mendapat komentar yang membentuk persepsi. Janganlah sebarkan berita palsu kerana ia tak beretika dalam politik," katanya.

Tiada ulasan: