"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak perlu fikir lagi tentang KJ - Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata, persoalan sama ada bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin akan menyertai parti itu atau sebaliknya tidak lagi perlu difikirkan.

Beliau berkata, banyak perkara lain yang perlu diberi perhatian, berbanding hanya tentang seseorang pemimpin politik, kerana mereka “datang dan pergi”.

“Saya harap kita tak perlu terlalu fikir tentang seorang pemimpin, tapi perlu bimbang keadaan kos sara hidup rakyat begitu tinggi dan sebagainya yang perlu diberi keutamaan.

“Pemimpin politik datang dan pergi, kita semua sepatutnya beri fokus untuk pelihara rakyat, berbanding memikirkan di mana seseorang nak bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bilik Gerakan PN Negeri Sembilan di Seremban, menjawab persoalan tentang kedudukan bekas Ahli Parlimen Rembau itu dengan Bersatu, lapor Sinar Harian.

Faizal bagaimanapun berkata, beliau menghargai pemimpin seperti Khairy yang mengutamakan rakyat berbanding kedudukan politiknya.

“Saya lihat beliau sebagai seorang tokoh pimpinan yang sanggup bekerja untuk rakyat dan negara dalam apa juga kapasiti. Itu jauh lebih penting,” katanya.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin enggan mengulas lagi mengenai tawaran kepada Khairy untuk menyertai Bersatu.

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, Khairy sudah menjelaskan mengenai tawaran itu di podcast Keluar Sekejap.

Dalam episod terbaru Keluar Sekejap pada Rabu, Khairy berkata, beliau memohon “masa tambahan” untuk memikirkan tawaran menyertai Bersatu yang dibuat Muhyiddin bulan lepas.

Tiada ulasan: