"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki ini didakwa belasah isteri dengan kayu golf, baton besi dan buluh

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
AZWAN didakwa sengaja mencederakan isteri hingga parah guna kayu golf, baton besi dan buluh, Isnin lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
AZWAN didakwa sengaja mencederakan isteri hingga parah guna kayu golf, baton besi dan buluh, Isnin lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Melaka: Pengemas penginapan didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan mencederakan isterinya dengan kayu golf dan baton besi gara-gara mengetahui mangsa curang dengan lelaki lain, Isnin lalu.

Azwan Azman, 32, yang dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama 326A kanun sama mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada Noraishah Ya'acob, 28, dengan menggunakan kayu golf, baton besi dan buluh.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Seri Emas 3, Taman Seri Telok Mas, di sini, pada 19 Jun lalu, jam 3.30 pagi.

Seksyen 326 dan 326A KK memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari yang menjalankan pendakwaan membantah jaminan diberikan mengambil kira kecederaan parah dialami mangsa.

Peguam Muhammad Syah Azlan Abdullah bagaimanapun memohon jaminan rendah diberikan terhadap tertuduh yang juga bapa dua anak sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara.

Katanya, ibu tertuduh bersedia menjadi penjamin dan hanya menyediakan wang RM4,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 1 Ogos depan bagi pengurusan kes dan serahan dokumen.

Tiada ulasan: