"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Aku mahu potong tangan, cungkil mata kamu'

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
TAN Hock Meng dibawa keluar selepas mengaku salah mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah. FOTO Alias Abd Rani
Muar: "Apa hal ambil gambar ini," kata seorang pekerja tapak semaian yang didenda RM4,300 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah, bulan lalu.

Tertuduh, Tan Hock Meng, 40, dihadapkan dua pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun sama membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan oleh dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Gan Kee Chai, 58, dengan kedua-dua kejadian berlaku pada 26 dan 27 September, jam 2.30 petang di Taman Cempaka Selatan di sini.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian mengenakan denda RM900 bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayarnya.

Untuk satu lagi pertuduhan, dia didakwa menggunakan sebilah pisau dan garpu sambil mengacu ke arah mangsa sama dan berkata 'mahu memotong tangan, cungkil mata'.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Fatin Dalilah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,500 bagi kesalahan ini, pada masa sama, mahkamah mengarahkan tertuduh dipenjara tujuh bulan jika gagal membayarnya.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohammad Zuwairi Md Noor manakala tertuduh diwakili peguam Nor Hafizah Abdullah dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK).

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman paling maksimum dengan mengambil kira kesalahan serius dilakukan tertuduh.

Bagaimanapun, Nor Hafizah dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan anak guamnya perlu menanggung dua anak serta ibu bapa sudah uzur.

Tiada ulasan: