Agensi
LIU dirawat di ICU selama seminggu selepas didenda melakukan ketuk ketampí sebanyak 200 kali. FOTO Agensi/dimsumdaily
Beijing: Malang nasib remaja lelaki dikenali Liu apabila mengalami kerosakan buah pinggang selepas dipaksa melakukan 200 kali senaman cangkung (squat) dan berlari mengelilingi sekolah di wilayah Hunan, China.
Tribunnews melaporkan, Liu, 14, dihukum oleh gurunya, Tuan Tao, kerana bersembang di kelas ketika sesi pengajaran dan pembelajaran pada 12 September lalu.
Insiden itu terjadi di Sekolah Menengah Quantang daerah Changsha di Kota Jingzhou, Ningxiang, wilayah Hunan.
Menurut bapa saudaranya, Liu berasa sakit pada ototnya dan sukar berjalan selepas melakukan 200 kali senaman cangkung seperti dilaporkan Sin Chew Daily.
Setiap kali buang air kecil pula, air kencingnya berwarna teh.
Dua hari kemudian, keadaan Liu masih belum pulih dan meskipun sudah meminta cuti, remaja itu dipaksa oleh gurunya, Wen, untuk berlatih larian.
Liu pengsan selepas menghabiskan enam pusingan larian dan pihak sekolah menghubungi ibu Liu supaya menjemputnya pulang.
Ibunya kemudian mendapati air kencing anaknya berdarah, lalu membawanya ke Hospital Rakyat Ningxiang.
Hasil pemeriksaan, doktor mendapati keadaan Liu kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan risiko buah pinggang remaja itu kemungkinan gagal berfungsi jika lewat sejam.
Selepas diperiksa, Liu disahkan menderita akibat rhabdomyolysis, iaitu cedera otot.
Menurut doktor, Liu kemungkinan meninggal dunia jika terlambat dibawa ke hospital akibat buah pinggang gagal berfungsi.
Difahamkan, Liu dirawat di ICU selama seminggu.
Menurut sumber dalaman di Hongxing Video News, Biro Pendidikan Kota Ningxiang sudah membuat permohonan maaf kepada keluarga Liu.
Biro Pendidikan Kota Ningxiang juga sudah memecat guru berkenaan dan berjanji akan menanggung semua perbelanjaan perubatan Liu.
Pengetua sekolah dan guru lain yang terbabit dalam insiden itu sudah digantung tugas manakala pihak berkuasa sudah menjalankan siasatan.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan