"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Belum ada keputusan tentang rombakan kabinet - Anwar

Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia belum mempunyai keputusan berhubung rombakan kabinet kerajaan perpaduan seperti yang diperkatakan sesetengah pihak.

Anwar turut menjelaskan tujuan dia menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini adalah bagi mesyuarat pra-kabinet seperti kebiasaan.

“Belum (ada keputusan). Tadi saya menghadap Tuanku untuk bincang mesyuarat kabinet esok.

“Tiada kaitan lagi dengan perubahan jemaah menteri. Esok lepas (mesyuarat) kabinet saya ke Sabah dan (kemudian) ke Abu Dhabi,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penutup Khazanah Megatrends Forum 2023 di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan perdana menteri dijangka mengumumkan rombakan Kabinet selepas mesyuarat jemaah menteri esok.

Ditanya mengenai situasi jerebu melanda beberapa negeri ketika ini, Anwar berkata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad diarahkan supaya mengkoordinasi dengan rakan sejawatnya dalam Asean termasuk Indonesia untuk menangani jerebu rentas sempadan.

Hari ini, Nik Nazmi mengesahkan tiada kebakaran berlaku baru-baru ini yang boleh dikaitkan dengan situasi jerebu melanda negara ketika ini, namun data Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi menunjukkan ada berlaku pembakaran di luar negara.

Operasi pembenihan awan (OPA) dalam negara juga akan dilakukan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 bagi tempoh melebihi 24 jam,

Setakat lima petang tadi, tiga kawasan mencatat IPU pada paras tidak sihat dengan Nilai, Negeri Sembilan kekal kawasan paling terjejas dengan bacaan IPU 155.

-Bernama

Tiada ulasan: