"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah tolak permohonan lelaki mahu keluar Islam lepas cerai

Hidir Reduan Abdul Rashid

Mahkamah sivil telah menafikan permohonan undang-undang seorang mualaf untuk meninggalkan Islam selepas perkahwinannya dengan seorang wanita Islam runtuh lapan tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi menafikan semakan kehakiman lelaki berusia 45 tahun itu, yang keluar agama Kristian dan memeluk Islam pada 26 Julai 2010 untuk mengahwini wanita berkenaan pada tahun yang sama.

Bagaimanapun, perkahwinannya selama lima tahun dengan wanita itu berkecai dan berakhir dengan perceraian pada 17 Sept 2015 dan dia kemudiannya memohon Mahkamah Syariah untuk keluar Islam.

Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan menafikan cubaannya untuk meninggalkan Islam dan mengarahkan dia menjalani lebih banyak kaunseling agama Islam.

Lantaran itu, lelaki berkenaan memfailkan semakan kehakiman dengan mahkamah sivil pada Februari tahun lepas.

Semasa prosiding dalam talian hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa dalam isu murtad.

Hakim mahkamah sivil itu berkata ini kerana Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan jelas menyempadankan perkara berkenaan sebagai fasal yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Wan Ahmad Farid berkata peruntukan undang-undang telah menyebut demikian walaupun terdapat khilaf dalam keputusan Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun, hakim mahkamah sivil itu menyatakan bahawa Mahkamah Syariah tidak memberi panduan kepada lelaki itu tentang apa yang mereka maksudkan dengan dia gagal memberikan keterangan yang mencukupi untuk membuktikan dia menganut keyakinan terhadap doktrin Tritunggal Kristian.

Wan Ahmad Farid berkata mahkamah syariah berkata bahawa keterangan lelaki itu tidak disokong oleh mana-mana saksi, tetapi ia tidak pergi lebih jauh daripada itu.

“Saya mempunyai keraguan mengenai hujah ini. Saya tidak dapat memahami apa yang dimaksudkan oleh Mahkamah Rayuan Syariah apabila ia memutuskan mengenai keterangan yang tidak mencukupi, untuk memberi panduan (kepada lelaki itu) mengenai sifat keterangan yang mencukupi yang diperlukan oleh Mahkamah Syariah.

“Walaupun begitu, seperti yang dikatakan oleh Mahkamah Rayuan (dalam keputusan tahun ini mengenai cubaan seorang wanita untuk meninggalkan Islam), Mahkamah (Tinggi) ini tidak mempunyai kuasa ke atas Mahkamah Syariah mengenai murtad,” kata Wan Ahmad Farid sebelum menolak semakan kehakiman lelaki itu.

Peguam Fahri Azzat mewakili lelaki berkenaan.

Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi bertindak bagi empat responden dalam semakan kehakiman iaitu Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan kerajaan persekutuan

Menurut laporan media pada tahun lalu, lelaki itu meminta pengisytiharan bahawa dia bukan lagi seorang Muslim, atau secara alternatifnya dia tidak pernah menganut agama Islam.

Melalui afidavit sokongannya, dia menjadi Muslim pada Julai 2010 untuk mengahwini wanita itu, dan dia kemudiannya didaftarkan sebagai mualaf.

Bagaimanapun, dia mendakwa isterinya ketika itu tidak pernah menggalakkannya untuk mengamalkan Islam, sambil menambah dia tidak begitu yakin apabila dia mengucapkan Kalimah Shahadah.

"Saya telah memeluk Islam semata-mata untuk berkahwin dengan bekas isteri saya ketika itu, supaya kami boleh hidup bersama sebagai suami isteri," katanya dalam afidavitnya.

Dia berkata masih percaya pada ajaran Kristian dan berminat pada Buddhisme.

Mengikut afidavit itu, dia sebelum ini pada 2016 memfailkan permohonan dengan Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia bukan beragama Islam.

Mahkamah agama sebelum ini memerintahkan dia menghadiri 12 sesi kaunseling akidah praperbicaraan - yang berlangsung antara Jun dan Ogos, 2019 - sebagai prasyarat sebelum ia memutuskan cubaannya keluar Islam.

Mahkamah Tinggi Syariah bagaimanapun menafikan permohonannya dan telah memerintahkan dia menjalani sesi kaunseling agama selanjutnya. Perkara ini dikekalkan lagi oleh Mahkamah Rayuan Syariah.

Tiada ulasan: