"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita curi 145 produk kosmetik dihukum penjara 8 bulan

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
Tertuduh, Sazila Isa dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,500 atas kesalahan mencuri 147 produk kosmetik bernilai lebih RM13,000. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Tertuduh, Sazila Isa dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,500 atas kesalahan mencuri 147 produk kosmetik bernilai lebih RM13,000. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Melaka: Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas empat kesalahan mencuri 147 unit barangan kecantikan dan kesihatan bernilai keseluruhan RM13,002.23 demi membayar hutang antara April hingga September lalu.

Sazila Isa,40, dari Petaling Jaya, Selangor dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah dalam prosiding berasingan di depan Majistret, Khairunnisak Hassni dan Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret 2 dan 4.

Mengikut tiga pertuduhan di hadapan Khairunnisak, tertuduh didapati dengan niat curang mencuri 115 unit pelbagai jenis barangan kecantikan dan kesihatan bernilai keseluruhan RM9,710.48.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kedai Guardian Pharmacy, Kipmall Melaka, Jalan Tun Fatimah, Bachang, di sini, pada 29 April lalu, jam 4.40 petang dan di kedai Guardian, Jalan Bunga Raya, pada 26 Julai dan 6 September lalu, jam 7.57 malam dan jam 8.25 malam.

Bagi pertuduhan di hadapan Sharda Shienha, tertuduh didapati mencuri 32 unit barangan kecanti bernilai RM3,291.75 di kedai Guardian, Mahkota Parade, di sini, pada 26 Julai lalu, kira-kira jam 8.15 malam.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishar dan Nor Asnini Kamarudin mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.

Mengikut fakta, pengadu dalam keempat-empat kes menyedari kecurian apabila mendapati stok barangan kecantikan dan kesihatan di rak jualan berkurangan, namun tiada rekod jualan.

Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis masing-masing, didapati tertuduh mengambil pelbagai barangan berkenaan sebelum dimasukkan ke dalam beg kitar semula dan keluar tanpa membuat bayaran.

Berdasarkan laporan pemilik premis, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D4 (Risikan / Operasi / Rekod Jenayah) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka menjalankan siasatan dan menahan tertuduh di sebuah Flat PKNS, Taman Dato Harun, Petaling Jaya Selangor pada 9 September lalu.

Terdahulu pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh yang disifatkan sebagai pesalah tegar dan berulang serta masyarkat.

Peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) berhujah bahawa pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah serta dia wajar diberi peluang membetulkan diri.

"Tertuduh seorang ibu tunggal kepada empat anak termasuk seorang orang kurang upaya mental dan hanya bergantung kepada banguan zakat RM400 sebulan.

"Saya difahamkan tertuduh mencuri barangan berkenaan untuk dijual bagi melangsaikan hutang. Pohon penjara ringan bermula dari tarikh ditangkap," katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak mahkamah menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara dari tarikh ditangkap dan denda RM5,500 bagi semua kesalahan itu atau dua bulan penjara jika gagal bayar.

Tiada ulasan: