Hariz Mohd
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyelar tindakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataan “apek berseluar pendek akan mengajar agama di masjid”.
Menurutnya pemimpin PAS sepatutnya melihat Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP sejak 15 tahun lalu sebelum membuat dakwaan sedemikian.
“DAP dah berkuasa di Pulau Pinang tiga penggal, dah 15 tahun. Apakah (ada) apek Cina menyampaikan khutbah di masjid pada hari Jumaat?
“Jadi Pulau Pinang contoh terbaiklah, apakah tak ada lagi masjid di Pulau Pinang? (Tetapi) itu yang mereka mainkan,” katanya kepada media selepas ceramah di Telemong, Bentong, malam tadi.
Loke yang juga menteri pengangkutan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Sanusi ketika ceramah di Pelangai, minggu lalu.
Dalam ceramahnya itu Sanusi mendakwa di Malaysia nanti akan melihat “apek berseluar pendek mengajar agama Islam di masjid” sekiranya PH dan BN terus menjadi kerajaan.
Loke menyifatkan dakwaan Sanusi itu menunjukkan betapa pemimpin PAS ketiadaan modal dan visi.
“Yang saya pelik dulu masa PAS kerjasama dengan kita, itu pun fitnah yang mereka lawan dulu. Masa tu Umno lah yang cakap macam (Sanusi) itu.
“Hari ini mereka guna fitnah sama dan logik yang sama. Jadi ini permainan politik, dulu masa PAS kerajasama DAP, dia juga lawan fitnah macam tu dia pun tahu bahawa itu tak betul.
“Hari ini mereka guna cara fitnah tak betul ini, menunjukkan bahawa mereka ketandusan modal. Saya percaya ia takkan beri kesan kepada rakyat,” jelasnya.
Sementara itu Loke yang juga anggota Parlimen Seremban berkata pihaknya yakin undi penyokong DAP di beberapa kampung di Pelangai akan berpihak kepada calon BN, Amizar Abu Adam, pada hari pengundian, Sabtu ini.
“Di Pelangai ini kita tak dapat majoriti dulu, tapi dapat sokongan kuat juga terutama di Telemong, Manchis dan beberapa kawasan lain.
“Walaupun kalah (dalam PRU ke-15 lalu) kita ada sokongan, mungkin dalam 30 peratus pengundi di Pelangai. Dengan sokogan itu, yang kita akan alih pada BN, saya yakin dengan formula itu calon BN boleh menang selesa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan