"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bayi 8 bulan maut seharian tertinggal di dalam kereta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang bayi perempuan meninggal dunia selepas tertinggal kira-kira 10 jam di dalam kereta ibunya di kawasan letak kenderaan Hospital Canselor Tunku Muhriz (HTCM), Cheras, semalam.

Difahamkan bahawa ibu mangsa, yang juga seorang doktor, menyangka sudah menghantar bayinya berusia lapan bulan itu ke taska sebelum ke tempat kerja.

Ketua Polis Cheras Zam Halim Jamaluddin hari ini berkata, pegawai perubatan HTCM menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 5.53 petang.

Bagaimanapun, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada hari sama.

“Hasil siasatan awal mendapati pada 7.20 pagi, ibu mangsa meletakkan mangsa di bahagian belakang penumpang sebelah kiri di dalam kereta untuk dihantar ke taska.

“Bagaimanapun, ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan anggapan mangsa sudah dihantar ke taska,” kata Zam Halim, lapor Berita Harian.

Ibu mangsa hanya menyedari mangsa masih berada di dalam keretanya pada petang hari sama selepas suaminya memaklumkan bahawa mangsa tiada di taska.

Menurut Zam Halim, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Tiada ulasan: