Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
Lokasi kedua-dua beradik dikhuatiri lemas di Sungai Pegalan, berhampiran Kampung Lingkudau, Keningau. FOTO Ihsan Bomba
Keningau: Cubaan kakak menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam sungai berakhir tragedi apabila kedua-dua mereka dikhuatiri lemas di Sungai Pegalan, berhampiran Kampung Lingkudau, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Azila Jabar, 12, dan adiknya Arlina, 9, dipercayai bermain berhampiran tebing sungai berkenaan.
Arlina dikatakan tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai dan melihat situasi itu, kakaknya kemudian terjun untuk menyelamatkan adiknya.
Bagaimanapun kedua-dua beradik itu hilang di dalam air dan seorang rakannya kemudian meminta bantuan daripada penduduk kampung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Sharudy Delamin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.07 petang.
"Bilik kawalan BBP Keningau lapor terima panggilan terdapat dua kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas di sungai.
"Setiba di lokasi, pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan cara surface searching di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, setakat ini kedua-dua mangsa belum ditemui.
"Operasi SAR masih dilakukan oleh pasukan penyelamat.
"Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan