Minyak masak bersubsidi: Sistem ID khas berisiko wujudkan pasaran gelap
Isabelle Leong
Perancangan kerajaan untuk memperkenalkan kad pengenalan (ID) khas bagi mereka yang benar-benar layak membeli minyak masak bersubsidi berisiko mewujudkan pasaran gelap, kata pakar ekonomi.
Mereka berpandangan ID khas buat yang layak mendapat subsidi bukan sahaja akan membuka ruang kepada penyalahgunaan, tetapi kerajaan mungkin perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk memastikan sistem itu tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Oleh itu, seorang pakar sebaliknya, mencadangkan agar Putrajaya menyediakan sistem "baucar" dan bukannya ID.
Bercakap kepada Malaysiakini, seorang pensyarah dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Geoffrey Williams berkata bahawa mekanisme yang dicadangkan oleh kerajaan itu adalah “dasar teruk dan akan menjahanamkan negara.
Williams menyatakan kebimbangan bahawa mereka yang mempunyai ID berkenaan boleh menjual minyak masak subsidi pada harga premium di pasaran gelap atau menjual ID mereka sebagai balasan untuk mendapatkan wang tunai.
"Dalam kes paling teruk, kumpulan penjenayah akan mencuri ID ini dan mewujudkan pasaran gelap," katanya.
Berkongsi pendapat yang sama ialah seorang profesor di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Nazari Ismail.
Sambil mengakui pengenalan ID khas adalah langkah paling realistik pada masa ini, menurutnya adalah sukar bagi pentadbiran persekutuan untuk memastikan sistem itu tidak disalahgunakan.
“(Kerajaan mesti) beri jaminan bahawa mereka yang layak dapat subsidi akan terus menerimanya.
“Oleh kerana kita semua tahu, sesetengah orang cenderung untuk mengambil kesempatan daripada sistem itu.
“Sebelum ini, sebagai contoh, kita tahu warga asing mengambil kesempatan daripada subsidi bahan api, yang hanya untuk rakyat tempatan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Sementara itu, Williams turut mengkritik kerajaan dan menegaskan adalah tidak wajar dari segi ekonomi, malah mendakwa sistem itu sebenarnya mencabuli hak rakyat dengan memantau perbelanjaan mereka melalui langkah menawarkan subsidi melalui ID khas berkenaan.
Dia melahirkan rasa kecewa kerana dasar yang direka untuk menangani isu berkaitan kos sara hidup akhirnya akan menjadi ‘dasar kawalan sosial’.
“Ia akan berkembang dari semasa ke semasa bagi barangan terpilih kepada lebih banyak barangan lain, yang menurut kumpulan pelobi juga dikawal.
“Ini juga bermakna kerajaan akan mengawal pengguna untuk berbelanja bagi produk, jenama atau kedai yang dipilih yang mungkin mereka tidak mahu.
“Jadi, awak akan kehilangan kebebasan memilih dalam aspek paling asas dalam hidup, sebagai contoh, kamu tidak bebas memilih apa yang kamu makan.
“Mewujudkan ID khas untuk membeli barangan keperluan menimbulkan herotan pasaran yang besar, kekurangan bekalan dan harga yang lebih tinggi. Ia menyekat pilihan pengguna dan menjejaskan kebebasan individu,” katanya.
Pada Isnin, 2 Oktober lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan ID khas kepada pengguna yang layak untuk membeli minyak masak paket bersubsidi.
“Kita mahu sasarkan kepada yang memerlukan… supaya tidak berlaku penjualan kepada yang tidak sepatutnya.
“Pada ketika ini kerajaan keluarkan 60 juta paket minyak masak bersubsidi setiap bulan.
Akan tetapi aduan di terima ialah ia tidak boleh di dapati di pasaran. Ia selalu habis,” katanya.
Sementara itu seorang lagi ahli ekonomi, Carmelo Ferlito menggesa kerajaan membatalkan perancangan untuk menggunakan ID khas itu.
Sebaliknya, Ferlito, yang juga ketua pegawai eksekutif Center for Market Education, mencadangkan agar kerajaan membenarkan penyediaan barangan dan perkhidmatan pada harga pasaran dan seterusnya membantu kumpulan berpendapatan rendah dengan ‘baucar bersasar’ yang diberikan bergantung kepada kumpulan pendapatan berbeza.
"Menyediakan baucar bersasar dan bukannya bantuan tunai akan membolehkan kemunculan pasaran untuk baucar, membolehkan pengedaran bantuan yang menepati sasaran," katanya.
Langkah sedemikian, katanya, bukan sahaja akan mengurangkan kos kerajaan tetapi juga memperkasakan pengguna dengan tahap kebebasan memilih yang lebih tinggi.
"Saya fikir dengan membenarkan kewujudan pasaran baucar melalui sistem 'baucar bersasar', ia secara spontan boleh menjana perbelajaan yang lebih baik, walaupun tidak sempurna,” kata Ferlito.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan