"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Kita ada maklumat dalaman’, Zahid kata ada Adun PN akan bersama BN

Faisal Asyraf

PUTRAJAYA: Presiden Umno Zahid Hamidi mendakwa beberapa Adun Perikatan Nasional (PN) Pahang akan keluar gabungan itu untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam ucapannya di Felda Chemomoi pada Selasa, mendakwa beberapa Adun BN akan menyokong PN jika gabungan itu menang PRK Pelangai 7 Okt ini.

“Walaupun itu propaganda mereka, kita juga mempunyai maklumat dalaman dan sebenarnya mereka juga (Adun PN) akan bersama dengan kami.

“Jadi, kita berharap empat (Adun) itu datang daripada mereka (PN),” katanya kepada media.

Terdahulu, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail menafikan dakwaan Muhyiddin, sambil berkata Adun BN menyatakan kesetiaan kepada gabungan dan tidak akan meninggalkan parti untuk menyertai PN.

Beliau berkata, dakwaan Muhyiddin dibuat untuk mengeliru dan menakut-nakutkan rakyat menjelang PRK Pelangai.

Pahang belum melaksanakan undang-undang anti lompat parti sejak ia dikuatkuasakan di peringkat persekutuan pada Oktober tahun lalu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang mempunyai 42 kerusi. BN dan Pakatan Harapan masing-masing memiliki 16 dan lapan kerusi, manakala PN 17.

PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya daripada Umno yang juga exco Pahang, Johari Harun, yang meninggal dunia dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.

Tiada ulasan: