"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Biar Muhyiddin, Tuan Ibrahim berangan-angan

Hishamuddin Aun

Muhyiddin Yassin kata Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikannya mampu bentuk kerajaan Pahang yang baru jika menang PRK Pelangai Sabtu ini. Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula tambah itu boleh berlaku kerana DUN Pahang belum luluskan undang-undang anti lompat parti.

Kedua-duanya bayangkan kemungkinan itu tidak boleh diketepikan – menang Pelangai dan kemudian dapat empat Adun Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan mahu menyeberang. Tapi sebenarnya kedua-duanya – baik Muhyiddin mahupun Tuan Ibrahim — juga naif dan cuai hingga cakap-cakap mereka tak boleh pakai.

Pada PRU15, BN menang 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang manakala PN mendapat 17 kerusi. BN kemudian menubuhkan kerajaan negeri dengan PH yang memiliki lapan kerusi DUN yang memberikan kedua-dua gabungan itu majoriti dengan 24 kerusi.

Jadi, bagaimana PN mampu mengambil alih pentadbiran Pahang jika menang PRK Pelangai yang memberikan tambahan cuma satu kerusi kepada 18?

Jawapan Muhyiddin ialah itu boleh dicapai jika benar khabar angin ada empat Adun di pihak kerajaan sekarang yang ingin menyertai PN. Makna kata jika itu berlaku, PN yang akan dapat majoriti dengan 22 kerusi manakala BN-PH akan tinggal 20 kerusi di DUN Pahang yang memiliki 42 kerusi.

“Ya, (kemenangan kerusi Pelangai) tak akan mengubah (komposisi) kerajaan kerana tambah satu (kerusi sahaja). (Ia juga bermakna) kurang empat (kerusi sahaja berbanding kerajaan negeri).

“Mungkin nanti ada YB Umno sedar kesilapan dan ingin masuk jemaah kita. (Jika ia berlaku) Insya-Allah Tuan Ibrahim bakal menteri besar Pahang,” katanya dalam sesi dialog bersama NGO Melayu di Simpang Durian, Pelangai petang kelmarin.

Tidakkah ini cuba kelirukan pengundi? Ini kerana Muhyiddin membuat kenyataan itu berdasarkan khabar angin dan andaian yang beliau sendiri tidak pasti betul atau silapnya. Asalkan ia sedap didengar pengundi dan ia dapat menarik sokongan mereka kepada PN, hentam sajalah.

Mengenali Muhyiddin, tentunya beliau boleh saja menjelaskan kemudian yang kenyataannya itu telah dilaporkan di luar konteks seperti yang biasa dibuatnya ketika kempen PRK Pulai dan Simpang Jeram bulan lalu.

Bercakap kepada wartawan selepas majlis dialog itu, Muhyiddin hairannya mengakui pula yang beliau tidak pasti siapa yang dikatakan empat (Adun) yang mahu menyeberang itu.

“Kami terbuka kepada sesiapa yang ingin sokong. Tapi saya tak pasti jika khabar angin ini ada kebenarannya. Apa-apa pun, Pelangai penting buat kami. Kami bekerja keras untuk jelaskan kepada pengundi agar mereka boleh beri undi kepada calon kami, Kasim Samat.

“Jika menang, ia pastinya kuatkan kedudukan PN. Kami tahu jumlah (kerusi) masih tak cukup, tapi jika ia boleh buka peluang untuk kami tubuh kerajaan, pastinya kami harap dapat berbuat demikian,” katanya seperti dilapor Malaysiakini. Kasihan penyokong PN mentah-mentah diperdayakan.

Di majlis dialog itu, Tuan Ibrahim berkata jika benar ada empat Adun yang ingin menyertai PN, beliau ingin bertemu mereka. Ketua pembangkang di DUN Pahang itu sekurang-kurangnya jujur yang beliau tak tahu sama ada perkara itu benar atau tidak.

“Jawapan saya mudah – jika memang ada empat Adun (yang ingin sertai), bawa jumpa saya. DUN Pahang belum luluskan undang-undang anti lompat parti. Kami masih bincangkan rang undang- undang ini,” kata Adun Cheka itu lagi.

Malah, ketika ditanya Malaysiakini, Tuan Ibrahim berkata belum ada wakil rakyat pihak kerajaan yang mendekatinya atau PN setakat ini, yang jika boleh disimpulkan dengan mudah, bermaksud kedua-dua beliau dan Muhyiddin sebenarnya tak tahu tapi mereka tetap bercakap mengenai benda yang tak diketahui asal-usulnya.

Aneh kerana ia membabitkan dua pemimpin tertinggi PN yang dah banyak menuduh pimpinan kerajaan perpaduan berbohong itu dan ini. Tapi jika difikirkan balik, ia tak aneh pun kerana itu biasa dengan mereka. Sekurang-kurangnya, mereka tak menyalahkan “kerengga” kerana mengganggu.

Seperkara lagi, elok juga Muhyiddin dan Tuan Ibrahim juga ambil maklum bahawa undang-undang anti lompat parti sudah pun terpakai di DUN Pahang di sebalik rang undang-undang itu dikatakan akan dibincangkan.

“Walaupun tak dibawa lagi di DUN, tapi disebabkan persekutuan dah lulus, negeri pun kena ikut. Sesiapa saja boleh cabar ini di mahkamah sebab kita sebuah persekutuan,” kata Speaker DUN Pahang Mohd Sharkar Shamsudin melalui pesanan WhatsApp kepada saya.

Ditanya bukankah rang undang-undang anti lompat parti perlu diluluskan di DUN Pahang dahulu sebelum ia terpakai, ini jawapan beliau: “Tak perlu. Kita dah check dengan AG (peguam negara) dan LA (penasihat undang-undang). Macam Undi18, kita setuju umur 21 tapi sebab Parlimen lulus 18, negeri ikut sebab dia masuk dalam Perlembagaan.”

Itu pencerahan daripada speaker DUN Pahang sendiri, bukan sesuatu yang dikutip daripada cerita tepi jalan atau khabar angin seperti dijadikan rujukan oleh Muhyiddin atau Tuan Ibrahim sebagai modal mereka untuk memikat hati pengundi PRK Pelangai.

Dari selepas PRU15 November tahun lalu lagi – dah hampir setahun pun – PN dan Muhyiddin masih terus dibuai angan-angan hingga Tuan Ibrahim pun nampaknya terjebak sama. Jika pentadbiran Pahang berubah, Tuan Ibrahim dibayangkan akan menjadi menteri besar.

“Mungkin nanti ada YB Umno sedar kesilapan dan ingin masuk jemaah kita. (Jika ia berlaku) Insya-Allah Tuan Ibrahim bakal menteri besar Pahang,” kata Muhyiddin kelmarin. Jawapannya lambat lagi.

Sharkar yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menolak ura-ura ada Adun Umno akan berpaling tadah sebagai khabar angin semata-mata. “Tak betul tu, berita angin je. Tiada siapa nak jadi kerajaan pembangkang pada kerajaan pusat. Lompat parti dah lulus pun,” katanya lagi.

Muhyiddin dan Tuan Ibrahim harus tersentak daripada lamunan mereka.

Tiada ulasan: