"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenali Dr Danial Zainal Abidin yang dibatal ceramahnya di Kedah

SITI NUR ZAWANI
Kenali Dr Danial Zainal Abidin yang dibatal ceramahnya di Kedah
Beberapa hari lalu kecoh mengenai pendakwah bebas, Datuk Dr Danial Zainal Abidin yang dibatalkan penampilannya pada program sambutan Maulidur Rasul di Masjid Zahir, Kedah.

Pembatalan beliau mengundang kritikan warganet yang mengumpamakan Perikatan Nasional (PN) sebagai mengata dulang paku serpih – kerana sebelum ini PN pantas menyerang jika ada pendakwah yang disekat dari menyampaikan ceramah agama.

Ramai tidak mengenali latarbelakang Ustaz Danial yang berpuluh tahun dikenali sebagai pakar ilmuwan dan tidak mempunyai kecenderungan politik kepada mana-mana pihak.

Dilahirkan pada 21 Julai 1955 di Kampung Manggis, Sungai Ara, Pulau Pinang, beliau merupakan anak kedua daripada enam orang adik beradik.

Beliau menerima pendidikan awal di Pulau Pinang sebelum melanjutkannya ke Universiti Iskandariah, Mesir dalam bidang perubatan dan pada tahun 1981 beliau memperolehi ijazah M.B.Ch.B. dalam bidang tersebut. Di Mesir, beliau mendalami agama dengan beberapa orang ulama.

Sekembali ke tanah air beliau membuka sebuah syarikat, Danial Zainal Consultancy (M) Sdn. Bhd. disamping turut menjadi pengurus dan pengamal perubatan di Klinik Syifa, Gelugor, Pulau Pinang.

Dr Danial pernah diundang menyampaikan ceramah di luar negara, antaranya, di St. Louis, Amerika, Perth, Australia, dan Singapura.

Beliau juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan bergiat cergas dalam pertubuhan dakwah dan kebajikan. Beliau menjadi penasihat bagi Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) bermula tahun 2005.

Beliau pernah menjadi Yang Di Pertua Jemaah Islah Malaysia (JIM) Pulau Pinang, dari tahun 1992 hingga 2001 selain merupakan Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Pada tahun 1996 hingga 2000 pula beliau menyandang tugas sebagai Pengerusi Kariah di Sungai Ara, Pulau Pinang.

Dalam bidang penulisan, beliau sebelum ini merupakan kolumnis tetap ruangan Islam dan Sains bagi Majalah-i, Karangkraf, dan Kosmik, Dewan Bahasa dan Pustaka. Sehingga ke hari ini buku-buku yang telah beliau hasilkan berjumlah sepuluh buah.

Karya beliau iaitu 7 Formula Individu Cemerlang dan Tip-tip Cemerlang Daripada Quran pernah menjadi 10 terbaik di beberapa buah kedai buku besar di ibu negara.
Pada 2018, Dr Danial pernah dituduh mengeluarkan kenyataan yang memihak berlebihan kepada DAP iaitu “DAP yang telah mengangkat martabat Islam dan Bangsa Melayu”. Kenyataan itu ternyata palsu kerana beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Beliau pernah memuji dan mengkritik semua parti politik di Malaysia termasuk Pas dan BN, tetapi apabila pujian diberikan kepada Pakatan Harapan (PH), beliau hebat dilabel dengan pelbagai tuduhan melampau.

Baru-baru ini nama Dr Danial kembali diperkatakan selepas pendakwah itu berlapang dada biarpun undangannya ke program Maulidur Rasul di Kedah dibatalkan dan diganti dengan asatizah yang lain.

Tiada ulasan: