V Anbalagan
Keratan mayat seorang wanita ditemukan di dalam dua beg pakaian di tebing sungai berhampiran Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 2018. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan mengesahkan hukuman penjara 20 tahun terhadap seorang warga Bangladesh yang membunuh, mengerat kemudian menyumbat bahagian badan isterinya dalam dua beg pakaian.
Panel tiga anggota yang dipengerusikan oleh Hakim Vazeer Alam Mydin Meera menolak rayuan Shahzada Saju terhadap hukuman itu selepas mendapati hakim bicara tidak melakukan sebarang kesilapan yang boleh dirayu ketika menjatuhkan hukuman.
“Hukuman itu wajar kerana ia tindakan yang mengerikan. Mahkamah harus mempertimbangkan elemen kepentingan awam.
“Sebagai suami mangsa, (Shahzada) sepatutnya menjaga isterinya, sebaliknya dia mengambil nyawanya,” kata Vazeer yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah.
Pada 7 Ogos 2018, Shahzada, seorang bekas pelayan didakwa membunuh Sajeda-E Bulbul, juga warga Bangladesh, di Dang Wangi, Kuala Lumpur antara 3 dan 5 Julai 2018.
Dia mengaku bersalah pada 26 Mei tahun lepas, selepas hakim perbicaraan mengurangkan tuduhan kepada homisid salah tidak bersamaan dengan bunuh pada penutupan kes pendakwaan.
Terdahulu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Fuad Abdul Aziz meminta rayuan itu ditolak kerana hukuman penjara 20 tahun selaras dengan trend hukuman bagi kesalahan itu.
Vijey Esvaren selaku peguam mewakili Shahzada memohon keringanan bagi anak guamnya agar dapat pulang ke rumah untuk menjaga ibunya.
Dilaporkan bahawa bahagian mayat yang dikerat itu ditemukan dalam dua beg pakaian di tebing sungai berhampiran Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Polis menahan Shahzada di Johor Bahru pada 25 Julai 2018. Motif pembunuhan tidak didedahkan.
Dalam kes lain, mahkamah yang sama mengekalkan hukuman penjara 20 tahun terhadap Goh Jie Keat, yang juga mengaku bersalah membunuh anak saudaranya, Serena Yip Pei Yee, 3, di sebuah rumah di Taman Kepong, Kuala Lumpur, pada 18 Jun 2018.
Goh pada mulanya didakwa atas tuduhan membunuh, tetapi tuduhan dikurangkan kepada homisid salah tidak bersamaan dengan bunuh selepas pihak pendakwaan menerima representasinya semasa perbicaraan.
Laporan bedah siasat mendapati terdapat 56 kesan tikaman pada mangsa dipercayai menggunakan objek tajam.
Terdahulu, peguam N Subramaniyan mencadangkan hukuman penjara antara 12 hingga 15 tahun dari tarikh tangkap, dengan berkata anak guamnya seorang pesalah muda ketika kesalahan itu dilakukan.
Beliau tidak mempertikaikan jumlah kecederaan pada mangsa, tetapi berkata anak saudara tertuduh berulang kali mengusik tertuduh, yang ketika itu berusia 21 tahun, sehingga menyakitkan hatinya.
“Ia bukan tindakan yang dirancang,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal berhujah bahawa tempoh hukuman itu wajar memandangkan hukuman penjara maksimum bagi kesalahan itu ialah 30 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan