"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM didakwa serbu firma milik peguam peribadi Muhyiddin, Bersatu

MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN 

PETALING JAYA: Peguam peribadi kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Rosli Dahlan mendakwa bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu firma guamannya pukul 10.30 pagi tadi. 

Katanya, seramai 12 pegawai SPRM menyerbu firma guaman Rosli Dahlan Saravana (RDS) yang menuntut kuasa penyiasatan untuk mengakses seluruh pejabatnya.

Katanya, pegawai SPRM yang diketuai individu bernama Mohd. Farid Ismail, Mohamad Safwan Arbangi dan Siti Aida Khairudin menuntut hak menggeledah dan merampas dokumen-dokumen di firma tersebut.

“Kami memaklumkan pegawai SPRM, mereka tidak boleh menyalah guna kuasa mereka dan mereka tidak diberi kuasa untuk merampas dokumen terlindung firma guaman di bawah seksyen 46 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Seksyen 46 Akta SPRM menjelaskan:

(1) Walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis lain, seseorang Hakim Mahkamah Tinggi boleh, apabila permohonan dibuat kepadanya berhubungan dengan sesuatu penyiasatan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini, memerintahkan seseorang peguam bela dan peguam cara supaya mendedahkan maklumat yang tersedia kepadanya yang berkenaan dengan apa-apa transaksi atau urusan yang berhubungan dengan apa-apa harta yang boleh disita di bawah Akta ini. 

(2) Tiada apa-apa jua dalam subseksyen (1) boleh menghendaki seseorang peguam bela dan peguam cara mematuhi apa-apa perintah di bawah subseksyen itu sehinggakan pematuhan itu akan mendedahkan apa-apa maklumat atau komunikasi terlindung yang sampai kepada pengetahuannya bagi maksud apa-apa prosiding yang belum selesai.

Rosli merupakan rakan kongsi firma guaman RDS iaitu peguam utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Muhyiddin.

RDS turut bertindak untuk bekas Perdana Menteri itu dan memulakan saman fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas hal-hal berkaitan Felda.

Katanya, sebelum ini, pegawai SPRM juga cuba menyerbu pejabat firma guaman Tetuan Chetan Jethwani & Co. 

Chetan Jethwani juga bertindak sebagai peguam cara dan kaunsel untuk kepemimpinan Bersatu. 

Dalam pada itu, kata Rosli, kes saman fitnah terhadap Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang ditetapkan untuk pendengaran pada minggu lalu ditangguh kepada 11 Disember 2024.  

“Terdapat syak wasangka bahawa serbuan ini dibuat bagi membolehkan SPRM mendapat akses kepada fail-fail di firma guaman yang berkaitan bagi kes-kes yang dinyatakan di atas dan kemudiannya mungkin dibocorkan kepada pihak bertentangan. 

“Ironinya, baru minggu lalu, saya memberi ucapan di dua persidangan undang-undang. 

“Salah satu topik mengenai fitnah dan yang kedua mengenai AMLA dan penyalahgunaan kuasa oleh agensi penguatkuasaan, khususnya SPRM dalam menyalah guna kuasa penyiasatan mereka, membocorkan siasatan mereka dan dalam proses itu dan memfitnah orang yang menjadi sasaran,” katanya. 

Rosli ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, beliau dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan petang ini. -UTUSAN

Tiada ulasan: