"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bukit Aman siasat 'bayar sini RM100, balai RM300

Malaysiakini

Polis Bukit Aman sedang menyiasat klip video tular yang memaparkan seorang polis trafik didakwa mengambil RM100 daripada dua pelancong asing dengan alasan untuk menjelaskan saman memandu laju.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSJPT) Mohd Azman Ahmad Sapri berkata mereka menyedari video itu yang tular di media sosial hari ini dan berjanji akan menyiasatnya.

"Pihak JSPT mengambil maklum akan kejadian yang berlaku dan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menyiasat dakwaan tersebut serta tidak akan bertoleransi dengan sebarang salah laku oleh mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Azman turut menggesa pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil membantu siasatan.

Klip video itu, yang mula beredar di Twitter awal hari ini, menunjukkan pelancong dari UK mahu disaman oleh polis trafik kerana didakwa memandu laju di lebuh raya.

Salah seorang pelancong, yang memandu van itu, kemudian bertanya kepada polis tindakan yang perlu mereka lakukan seterusnya, dan polis berkata mereka mempunyai dua pilihan.

Polis trafik berkenaan kemudian berkata mereka mempunyai pilihan sama ada membayar saman di balai polis atau di lokasi itu.

"Bayar di balai polis, RM300. Bayar sini, RM100," katanya kepada pemandu wanita itu.

Polis itu kemudian dilihat mengambil wang tunai daripada pelancong berkenaan, sebelum pemandu itu bertanya kepadanya sama ada dia perlu menyemak dokumen mereka, namun polis itu memaklumkan ia tidak perlu.

Pelancong itu kemudiannya berkongsi rakaman video berkenaan di saluran YouTube mereka.

Difahamkan bahawa pelancong itu mengembara ke seluruh dunia dengan van mereka, dan mempunyai pengikut yang ramai di YouTube.

Menurut video asal yang dimuat naik di saluran itu kira-kira enam jam lalu, kejadian itu berlaku pada bulan Disember dan Malaysia merupakan negara ke-37 yang mereka lawati.

Difahamkan, kejadian itu berlaku di Perak.

Tiada ulasan: