"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perang saudara dalam Bersatu, Azmin akan ganti Hamzah?

BORHAN AHMAD

Perang saudara sedang hebat berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) sehingga disebut Datuk Seri Hamzah Zainudin akan dipecat dan jawatan beliau akan diambil alih oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ia bermula dengan satu hantaran dalam Team Walabot, pasukan laskar siber yang dibina oleh para penyokong Perikatan Nasional (PN) dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia disahkan juga oleh blogger Raja Petra Kamaruddin menerusi siaran beliau di dalam platform Youtube.

“KHIANAT,” tajuk posting dalam Team Walabot itu.

“Kita dah hampir pada kemenangan dan setiap kali hampir pasti ada pengkhianatan pada perjuangan rakyat.

“Esok Ahad dilaporkan Datuk Sri Hamzah Zainuddin ahli Parlimen Larut yang merupakan Setiausaha Agong Bersatu dikhabarkan akan dipecat dari jawatannya oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan digantikan dengan Datuk Sri Azmin Ali Adun Hulu Klang yang juga Ketua Pembangkang Selangor.

“Kedudukan Hamzah Zainuddin selaku Ketua Pembangkang juga dilaporkan akan digantikan dengan Muhyiddin Yassin sendiri,” tulis penulis dalam pasukan laskar siber itu.

Bagi Raja Petra, Langkah Dubai sudah habis akibat dari peperangan saudara antara Geng Hamzah dan Geng Azmin di dalam Bersatu.

Menurut tulisan dalam Walabot itu, puncanya adalah kerana perebutan jawatan perdana menteri dan juga kedudukan Muhyiddin Yassin selaku presiden yang dilaporkan sedang dicabar pasukan Hamzah Zainuddin.

“Pendek kata Bersatu kini telah terpecah kepada 2 kem yang mana Kem Muhyiddin Yassin, Azmin Ali Peja VS Kem Hamzah Zainuddin, Ronald Kiandee & Mas Emeryati.

“Harapan Rakyat yang mahukan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim tumbang nampak nya terpaksa ditangguh sekali lagi ekoran pengkhianatan demi pengkhianatan yang dilakukan ahli parlimen Bersatu,” kata tulisan itu lagi.

Beliau menjangkakan, Bersatu akan mengikut sejarah sebagaimana Parti Melayu Semangat 46 yang terkubur selepas lapan tahun ditubuhkan.

“Tengku Razaleigh telah menutup Semangat 46 selepas tidak yakin lagi boleh menggantikan Umno. Bersatu juga akan mengikut jejak langkah selepas berlaku pergaduhan dalaman,” kata Raja Petra yang menyifatkan ia berlaku selepas Mahiaddin umum mahu meletakkan jawatan tetapi kekal sebagai presiden.

Pengumuman ini menyebabkan berlakunya perebutan kuasa siapa patut menggantikan Mahiaddin antara kem Hamzah dengan kem Azmin sehingga menggagalkan Langkah Dubai yang diusahakan pembangkang.

Langkah Dubai adalah usaha PN untuk mengambil alih kerajaan melalui pintu belakang dengan beberapa laskar siber PN dan Mahathir berlumba-lumba menyiarkan kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan jatuh.

Tiada ulasan: