"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mursyidul am PAS: PAS memang layak pimpin PN

Mohd Farhan Darwis

PETALING JAYA: PAS sememangnya layak memimpin Perikatan Nasional tapi terserah kepada jawatankuasa bersama antara parti komponen menentukan, kata Mursyidul Am Hashim Jasin.

Katanya lagi, PAS tidak akan meminta kemudi di tangan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, kerana jawatan bukan matlamat utama perjuangan PAS dalam berpolitik.

“Soal ‘patut atau tidak’ patut dinilai jawatankuasa bersama antara parti. Adakah makna ‘layak atau tidak’, kalau dari sudut itu, dari dulu layak PAS memimpin tapi PAS tak gila kuasa,” kata Hashim kepada FMT.

Katanya, PAS tidak akan meminta kemudi PN tapi tidak akan menolak keputusan bersama.

“Dalam apa keadaan pun bila ada ruang dan diberi kepercayaan kita tak tolak tapi kita tidak meminta,” katanya.

Pengerusi majlis syura ulama ini, yang menentukan dasar parti berkata, mengulas ‘syor’ veteran Umno, Shahrir Samad, agar PAS mengambil alih kepimpinan PN ekoran dakwanya kekecohan dalam gabungan itu, selepas enam Ahli Parlimen Bersatu beralih sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Shahril turut menarik perhatian kepada Bersatu tidak dapat ambil sebarang tindakan terhadap wakil rakyatnya yang menyokong kerajaan.

Terbaharu Ahli Parlimen Tanjong Karang, Zulkafperi Hanapi, mengikut jejak Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli), atas alasan demi kawasan diwakili mereka.

Semalam, Shahrir mengesyorkan PAS ambil alih kepimpinan PN sambil memetik individu bergelar “Sam”, yang dipercayai merujuk kepada Ahli Parlimen Kemaman, Ahmad Samsuri Mokhtar yang diuar-uarkan sebagai calon perdana menteri PN menuju PRK Kemaman Disember lalu.

“Kita layak tapi kita tak rebut jawatan. Itu bukan matlamat kita,” kata Hashim, yang juga bekas Adun Sanglang.

Semalam, sumber rapat dengan seorang pemimpin Bersatu mendakwa lebih ramai Ahli Parlimen parti itu akan menyokong perdana menteri melainkan pembangkang boleh buktikan mereka mampu menukar kerajaan dalam tempoh terdekat.

Seorang pemimpin Bersatu yang tidak dinamakan pula berkata keputusan beberapa Ahli Parlimen menyokong kerajaan mungkin berpunca daripada keputusan Muhyiddin mempertahankan jawatan presiden, pada November lepas.

“Nilai sendiri kenapa PAS tidak ada seorang pun setakat sekarang yang melompat atau menzahirkan sokongan kepada perdana menteri,” kata Hashim.

“Kita ada bai’ah. Kita berjanji bukan dengan parti, kita berjanji dengan Allah. Allah tahu. Tiap-tiap calon PAS nak bertanding mesti berbaiah dan ini bukan baru.”

Tiada ulasan: