Aizuddin Saad
rencana@hmetro.com.my
PEMANCING ikan pesisir pantai yang memancing ikan dengan duduk pada sebatang kayu yang dipacak di atas laut berhampiran Pantai Koggala.
SRI LANKA, sebuah negara yang boleh dikatakan 'tidak dipedulikan' atau 'dipandang rendah' bagi sesetengah golongan pengembara dan pelancong rakyat Malaysia.
Malah ada beranggapan Sri Lanka hanyalah sebuah negara yang tidak mempunyai keunikan.
Namun sangkaan itu meleset sekali apabila penulis berjaya menjejakkan kaki untuk mengembara secara solo ke bumi yang diberi jolokan 'Wonder of Asia' atau Keajaiban Asia itu.
Penulis akui pada mulanya sama seperti pengembara atau pelancong Malaysia yang lain, hanya tertumpu kepada negara-negara eksotik terutama dari segi budaya dan pemandangan landskap yang luar biasa seperti di Pakistan Utara.
Kemudian penulis cuba keluar dari pemikiran yang skeptikal dan yakin setiap negara itu mempunyai keunikan tersendiri untuk disajikan kepada pengunjung.
Penulis akhirnya memutuskan selagi belum tiba ke negara itu, selagi itu juga tidak boleh menilai keperibadian negara terbabit.
Tanggal 16 Januari lalu, penulis tidak berfikir panjang dan terus membeli tiket penerbangan ke Sri Lanka disebabkan negara itu menawarkan visa percuma untuk beberapa negara termasuk Malaysia, sehingga 31 Mac ini.
Ia sebagai salah satu program bagi menambah pendapatan ekonomi negara.
Selepas 31 Mac ini, Sri Lanka dikatakan bakal mengenakan visa berbayar sebanyak US$50.
Dengan persediaan yang tidak hanya sampai dua bulan, agak sukar bagi penulis untuk merancang perjalanan ke Sri Lanka secara solo tanpa bantuan agen pelancongan berikutan kekurangan dana perbelanjaan.
Informasi kembara Sri Lanka yang dicari menerusi laman media sosial Facebook dari pengembara Malaysia juga tidak mencukupi disebabkan tidak ramai rakyat kita melancong ke sana.
Akhirnya sebahagian besar maklumat didapati melalui laman web pengembara antarabangsa yang banyak membantu susunan jadual perjalanan selama 13 hari bermula dari 26 Februari hingga 9 Mac lalu.
Ramai yang berkata, bahawa Sri Lanka sebuah negara yang amat berbeza dengan India walaupun rupa paras dan budaya lebih mirip kepada masyarakat India.
Sikap penduduk Sri Lanka juga dikatakan begitu ramah mesra. Kata-kata itu dibuktikan ketika penulis tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike di Colombo.
Perkara pertama yang membuatkan penulis rasa kagum adalah layanan mesra pegawai imigresen yang menguruskan pasport dan tidak banyak kerenah serta soalan.
KERETA Api Nine Arches Bridge merupakan tarikan paling utama bagi pelancong yang melawat Ella.
Berbeza sekali dengan penerimaan kakitangan imigresen dari banyak negara yang penulis lawati sebelum ini seolah-olah tidak mahu menerima penulis sebagai seorang pelawat.
Tanggapan pertama itu memang benar bahawa rakyat Sri Lanka sangat mengalu-alukan kedatangan pelancong luar negara.
Sepanjang berada di sana selama 13 hari berbekalkan wang perjalanan sejumlah RM1,800, penulis banyak menggunakan pengangkutan awam terutama menaiki bas atau lebih dikenali di Malaysia sebagai 'bas lompat-lompat.' Ia seperti era 80-an dan 90-an yang masih menggunakan khidmat konduktor bas untuk menjual tiket bas.
Suasana hiruk-pikuk berada di stesen bas dengan jeritan konduktor bas memanggil penumpang amat menggamit memori era 90-an.
Perkhidmatan bas awam sangat efisien dan begitu kerap iaitu setiap 10 hingga 15 minit untuk bergerak ke semua destinasi di seluruh Sri Lanka berbanding perkhidmatan kereta api yang juga pilihan kedua bagi rakyat negara itu.
Lapan destinasi utama menjadi pilihan penulis yang juga terkenal dengan panggilan Gelung Kembara Sri Lanka bermula dari Colombo - Pinnawala - Sigiriya - Kandy - Ella - Mirissa - Galle - Negombo.
Setiap destinasi yang dituju didedahkan dengan pengalaman sangat berbeza sekali bermula dari Colombo, bekas pemerintahan kolonial pejajah Belanda dan Inggeris yang turut menjadi ibu kota sibuk dengan pelbagai aktiviti harian.
Seterusnya menuju ke Pinnawala yang terkenal sebagai pusat pemuliharaan gajah yang dikenali dengan nama Pinnawala Elephant Orphanage.
Pengunjung boleh menyaksikan sebahagian gajah-gajah liar yang diselamatkan dibawa ke Sungai Maha Oya untuk dimandikan dengan berlatarkan pemandangan alam semula jadi.
Seharian di Pinnawala, penulis bergerak ke Sigiriya iaitu sebuah lokasi terkenal dengan kubu batu purba yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Semalaman di Sigiriya, keesokannya penulis terus bergerak ke Kandy iaitu bandar utama di tengah Sri Lanka.
Kandy juga destinasi utama bagi pengembara sebelum memulakan kembara laluan kereta api yang sangat terkenal di dunia dengan sepanjang perjalanan disajikan pemandangan ladang teh yang terbentang luas, hutan di kawasan pergunungan dan laluan kereta api itu merentasi puncak pergunungan sehingga ke Ella.
Perjalanan yang ditunggu-tunggu bermula dari Kandy ke Ella bermula pada jam 8.40 pagi. Penulis memilih untuk membeli tiket secara terus dari kaunter kerana harganya sangat murah sekali, untuk gerabak kelas kedua, tiket berharga LKR600 dan tiket gerabak kelas ketiga berharga LKR230.
Sekiranya tidak mahu bersesak dengan penumpang lain, tempahan tiket juga boleh dibeli menerusi laman web Sri Lanka Railways tetapi harga boleh mencapai hampir 10 kali ganda daripada harga tiket sebenar.
Setibanya di Ella yang mengambil masa perjalanan selama tujuh jam, saya berjalan kaki sambil mendaki ke penginapan yang ditempah, Mad Monkey Hostel sejauh satu kilometer.
Kandy dan Ella adalah bandar yang terletak di atas kawasan puncak pergunungan dengan keadaan cuaca serta suhu agak dingin dan nyaman seperti berada di Cameron Highlands.
Tahap kecergasan memainkan peranan penting untuk terus meneroka sekitar kawasan tarikan utama seperti Nine Arch Bridge yang banyak kawasan mendaki.
Bagi menjimatkan wang perbelanjaan terutama ketika menggunakan perkhidmatan awam seperti menaiki 'Tuk-Tuk' yang mengenakan bayaran agak tinggi, saya menyewa sebuah 'scooter' selama dua hari bagi menjelajah sekitar Ella sehingga ke Haputale yang terkenal dengan pemandangan ladang teh dengan bayaran LKR2,500 sehari.
SEORANG pekerja ladang tempatan memetik dauh teh.
Selesai tiga malam di Ella, penulis menuju ke Mirissa dengan kembali menaiki 'bas lompat-lompat' dari kawasan puncak pergunungan sehingga ke kawasan pesisir pantai.
Penulis memilih Mirissa sebagai pusat penginapan yang berada di tengah lokasi tumpuan tarikan pelancong kawasan tepi laut untuk memudahkan penulis bergerak ke timur dan barat dengan menyewa sebuah 'scooter' di mana sepanjang laluan pesisir pantai, banyak lokasi-lokasi pantai yang menarik untuk dilawati seperti Matara, Weligama, Ahangama, Unawatuna dan lain-lain.
Ombak besar yang menggulung menjadikan seluruh pantai dipenuhi penggemar sukan papan luncur air dan rakyat tempatan turut menyediakan kelas sukan papan luncur air bagi pelancong yang ingin merasai keseronokan meluncur.
Berbalik kepada tujuan paling utama penulis ke Sri Lanka adalah untuk merakam foto pemancing ikan pesisir pantai yang memancing ikan dengan duduk pada sebatang kayu dipacak di atas laut seperti foto dirakam jurufoto National Geographic, Steve McCurry.
Penulis berjaya mengenal pasti kawasan yang sering menjadi tumpuan pemancing yang berada sekitar kawasan Pantai Koggala.
Berakhir di Mirissa untuk dua malam, destinasi seterusnya ialah ke Galle. Galle adalah bandar besar pesisir pantai seperti Kuantan dan tarikan utama hanyalah di Galle Fort, sebuah bekas kota kubu perdagangan era penjajah Portugis dan Belanda yang masih didiami. Paling unik, bagi penulis adalah seni bina kolonialnya yang masih dipelihara.
Galle Fort yang berkeluasan 16.5 kilometer persegi itu boleh 'dihabiskan' dengan mengelilingi kota itu untuk satu hari.
Salah satu keunikannya ialah sebahagian tembok Galle Fort yang dibina dengan batu karang lautan.
Selesai pengalaman kurang menarik di Galle, esoknya penulis menuju ke Negombo, iaitu destinasi terakhir sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada lusa.
Negombo adalah bandar yang paling hampir dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike yang jaraknya hanyalah 10 kilometer.
Walaupun penulis tiba di Negombo agak lewat iaitu kira-kira pada jam 3 petang, penulis masih berkesempatan ke kawasan perusahaan ikan kering yang agak luas berhampiran dengan kubu Belanda.
Bau ikan kering begitu menyengat dan boleh dihidu beberapa kilometer. Negombo dikenali sebagai bandar yang terkenal dengan perindustrian perikanan.
Kesimpulan dari kembara solo penulis di Sri Lanka, apa yang dapat dikatakan, penduduk Sri Lanka banyak membantu memudahkan segala urusan dengan sikap ramah mesra.
Penulis juga berasa sangat selamat tanpa sebarang gangguan. Berbeza dengan negara lain yang pernah penulis lawati terutama berada di India apabila masyarakatnya sentiasa cuba mengambil kesempatan setiap masa.
Sekiranya anda seorang jurufoto yang ingin merakam detik atau peristiwa unik, Sri Lanka bukanlah destinasi yang menjadi tumpuan seperti India yang dipenuhi dengan pelbagai ragam karakter manusia.
Sri Lanka adalah destinasi bagi penggemar keindahan alam semula jadi dari tanah tinggi hingga ke pesisir pantai. Mengunjungi Sri Lanka seperti kembali semula ke tahun 90-an!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan