"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pasangan suami isteri bekal senjata pada warga Israel ditahan di bazar Ramadan

Bernama

Polis menahan tiga individu warga tempatan termasuk pasangan suami isteri yang disyaki membekal senjata api dan seorang lelaki menjadi pemandu kepada warga Israel yang telah diberkas di sebuah hotel di Jalan Ampang di Kuala Lumpur, Rabu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pasangan suami isteri berusia 40 dan 42 tahun ditahan di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor kira-kira 7.30 malam tadi, manakala lelaki berusia 38 tahun yang bertindak sebagai pemandu kepada warga Israel itu ditahan di Cameron Highlands, Pahang.

"Siasatan awal mendapati pasangan terbabit membekalkan beberapa pucuk senjata api kepada warga Israel itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata hasil siasatan menemukan sepucuk pistol di dalam kereta jenis Honda Jazz milik pasangan itu.

Razarudin berkata pasangan terbabit mengaku membeli pistol itu di negara jiran untuk diserahkan kepada lelaki warga Israel tersebut.

"Kesemua mereka kita tahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Semalam, Razarudin dilaporkan berkata seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang di Kuala Lumpur, Rabu lepas.

Beliau berkata lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai memasuki Malaysia pada 12 Mac lepas menggunakan pasport Perancis dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan mendakwa datang ke negara ini untuk membunuh rakan senegaranya susulan masalah keluarga.

Razarudin berkata suspek kini ditahan reman selama empat hari hingga 31 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Pasport 1966 serta Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

- Bernama

Tiada ulasan: