Agensi
CHIOMA Okoli. FOTO Facebook
Abuja: Seorang wanita Nigeria yang juga pempengaruh, berdepan hukuman penjara tujuh tahun kerana mengkritik mengenai puri tomato secara dalam talian, lapor portal Metro UK.
Chioma Okoli, yang mempunyai ramai pengikut di Facebook, menyiarkan ulasan dalam talian bahawa setin Nagiko Tomato Mix, yang dibuat oleh syarikat Nigeria Erisco Foods, adalah terlalu manis.
Okoli, 39, meminta 18,000 pengikutnya berkongsi pendapat mengenai sos tomato itu, yang mengundang pelbagai maklum balas.
Bagaimanapun, seorang wanita yang mendakwa adik kepada pencipta campuran tomato itu, mengulas pada hantaran Okoli.
"Berhenti merosakkan produk abang saya. Jika tidak menyukainya, gunakan yang lain, daripada bawa ke media sosial atau hubungi perkhidmatan pelanggan," tulisnya.
Okoli membalas komen wanita itu.
"Bantu saya menasihati abang anda.... semalam adalah kali pertama saya menggunakan dan ia adalah gula tulen," katanya.
Beberapa hari selepas komen itu, dia ditangkap oleh polis Nigeria dan dibawa ke penjara.
Untuk mendapatkan jaminan, Okoli dikehendaki memohon maaf secara terbuka kepada Erisco.
Okoli kemudian didakwa bersubahat dengan dua individu lain dengan niat untuk menghasut orang ramai menentang Erisco Foods Limited dan menghasut Erisco Foods Limited dengan mengetahui maklumat itu adalah palsu.
Jika disabitkan dengan jenayah itu, Okoli, yang kini mengandung anak keempatnya, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun.
Erisco juga menyaman Okoli dalam tuntutan sivil sebanyak AS$3.02 juta (kira-kira RM14.27 juta), selepas beberapa pembekal berhenti menjalankan perniagaan dengan syarikat itu.
Kes Okoli menimbulkan persoalan mengenai kebebasan bersuara di Nigeria, dan dikutuk oleh Amnesty International.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan