"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hina Nabi Muhammad: PN Johor gerak 26 bahagian buat laporan polis

NOR AZURA MD AMIN

JOHOR BAHRU - Perikatan Nasional (PN) Johor akan membuat laporan polis berhubung hantaran komen di media sosial yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

Pengerusi PN Johor, Datuk Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata bagi tujuan itu, 26 bahagian akan digerakkan membuat laporan polis.

Jelasnya, PN Johor amat kecewa dengan insiden provokasi melampau itu memandangkan ia berlaku pada bulan Ramadan.

"PDRM diharap dapat melakukan siasatan menyeluruh kerana insiden itu amat sensitif dan menggugat keharmonian kaum.

"Begitu juga dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dapat memainkan peranan lebih aktif untuk mencegah isu yang boleh menyentuh keharmonian kaum dan agama lain," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Bekas Menteri Besar itu menambah, sebagai masyarakat majmuk, berbilang agama serta kaum, semua pihak perlu belajar untuk saling menghormati antara satu sama lain.

"Janganlah sentuh isu yang sensitif sebegini terhadap kaum lain dan kepercayaan kaum lain.

"Kita seharusnya saling hormat-menghormati dan berkasih sayang," katanya.

Sebelum itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung hantaran komen di media sosial yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

Tangkap layar hantaran komen berkenaan dipercayai dilakukan seorang pengguna akaun Facebook berasal dari Pontian, tular sejak Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Ibrahim Mat Som dilaporkan berkata, polis setakat ini menerima satu laporan berkaitan kes berkenaan.

Tambahnya, polis sudah selesai merakam keterangan pengadu dan membuka kertas siasatan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tiada ulasan: