"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bunuh isteri: Nelayan terlepas hukuman mati

BERNAMA

Putrajaya: Seorang nelayan terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara 33 tahun kerana membunuh isterinya, 23 tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais, mengetepikan hukuman gantung yang diputuskan terhadap Abdul Razak Dalek, 71, selepas membenarkan permohonan semakannya di bawah Semakan Hukuman Mati dan Penjara Seumur Hidup (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan), Akta 2023 yang berkuat kuasa tahun lepas.

Abd Razak, 71, diperintahkan menjalani hukuman dari tarikh dia ditangkap pada 3 September 2001.

Bapa kepada dua anak dan lima cucu itu, telah dipenjara selama 22 tahun dan enam bulan.

Abd Razak, melalui peguamnya Datuk Baljit Singh Sidhu telah merayu kepada mahkamah, untuk memberikan beliau peluang kedua dan meringankan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya kepada hukuman penjara bagi membolehkan lelaki itu menghabiskan masa bersama anak-anaknya.

Baljit berkata kejadian itu berlaku selepas isteri Abdul Razak meninggalkannya.

Abd Razak didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Johor Bahru pada 2006 kerana membunuh Rozita Haron, 39, yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah hospital.

Dia melakukan kesalahan itu di rumah abangnya di Parit Pecah, Parit Jawa, Muar pada 3 September 2001.

Pada 2009, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum kalah dalam rayuannya selepas ditolak Mahkamah Persekutuan pada 2010.

Baljit Singh memberitahu media bahawa Abd Razak dijangka dibebaskan hari ini, kerana pengurangan satu pertiga daripada jumlah hukuman.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad telah meminta mahkamah mengekalkan hukuman mati dengan menyatakan bahawa Abd Razak menikam isterinya dengan pisau dan ia adalah satu kejadian yang tragis.

Beliau berkata jika mahkamah memutuskan untuk meringankan hukuman mati kepada hukuman penjara, maka hukuman penjara antara 35 tahun hingga 40 tahun perlu dikenakan.

Tiada ulasan: