"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Culik lelaki, suami isteri dipenjara 20 bulan

FMT Reporters
Mayuni Hayeebuding yang juga warga Thailand dan isteri, Nor Haznie Che Aziz mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu atas tuduhan menculik dan melarikan seorang lelaki. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Suami isteri dihukum penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan selepas mengaku bersalah atas tuduhan menculik dan melarikan seorang lelaki ke Thailand pada Januari tahun lalu.

Mayuni Hayeebuding, 48, yang juga warga Thailand dan isterinya, Nor Haznie Che Aziz, 40, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu bersama tiga lagi suspek yang masih bebas didakwa menculik Muhammad Alamin Ismail, 26, sebelum melarikan mangsa ke Golok.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan di Kampung Gong Jerat, Pengkalan Chepa, Kelantan pada 1 pagi, 16 Jan 2023.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, sehari selepas kejadian mangsa ditemui polis di sebuah bank di Rantau Panjang dan pada hari sama polis menahan suami isteri itu di sebuah rumah di Jalan Kuala Krai di Kota Bharu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Syazalia memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kejadian itu menyebabkan mangsa trauma.

Bagaimanapun, Nor Haznie memohon mahkamah mengurangkan hukuman terhadap mereka kerana mempunyai enam anak dan suaminya hanya bekerja sebagai buruh.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan terhadap kedua-dua tertuduh bermula daripada tarikh tangkapan.

Tiada ulasan: