"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KK Super Mart di Bidor dibaling 'bom'

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

am@hmetro.com.my

Ipoh: Kejadian khianat iaitu balingan botol kaca disyaki berisi minyak tanah atau gasolin membabitkan rangkaian kedai serbaneka KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) di Bidor, Tanjung Malim tidak mengakibatkan kebakaran di kedai itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata, sebaliknya siasatan mendapati terdapat serpihan botol kaca serta bahan letupan menyerupai mercun di atas lantai kedai bekenaan.

Mohd Yusri berkata, laporan polis berhubung kejadian diterima hari ini daripada seorang wanita berumur 20 tahun iaitu pekerja kedai itu yang memberitahu terdengar bunyi botol pecah di bahagian hadapan kedai kira-kira jam 5.35 pagi hari ini.

Katanya, wanita itu kemudiannya mendapati terdapat serpihan kaca serta bahan letupan menyerupai mercun di atas lantai kedai selain terdapat bau seakan gasolin atau minyak tanah dipercayai daripada serpihan botol terbabit.

"'Bom' yang dilempar di hadapan kedai itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kebakaran atau kemusnahan kedai serbaneka itu walaupun memang ada bau gasoline serta bahan letupan dipercayai mercun di tempat kejadian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Pencegahan Jenayah Komersil Phone Scam - Penyamar Pos Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Kata Mohd Yusri, susulan itu pihaknya kini giat mengesan suspek bagi siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mohd Yusri dalam pada itu menafikan laporan sesetengah portal berita yang menyatakan kejadian khianat membaling botol berisi gasolin itu terjadi di Taiping, Perak.

Menurutnya lagi, sampel dari serpihan botol itu akan dihantar ke makmal bagi pengesahan, selain siaaatan kini juga sudah berhasil memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berkenaan.

"Kita sedang buat kajian, kita akan menyiasat dan kita memperhalusi melalui rakaman CCTV itu termasuk kenderaan yang digunakan oleh suspek kejadian itu. Mengenai bilangan suspek pun kita masih lagi menyiasat daripada rakaman CCTV," katanya.

Katanya lagi, polis dalam pada itu memohon kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Norseha Baharudin di talian 05-4011861 atau 0177963359.

Terdahulu iaitu pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah 'Allah' dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Menyusulinya iaitu pada pada 16 Mac lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah 'Allah', di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Tiada ulasan: