ROME: Bayi kembar sembilan dari Mali yang pernah menggemparkan dunia melakukan penerbangan buat kali pertama ke Eropah selepas menerima undangan untuk muncul dalam rancangan televisyen, Lo Show dei Record.
Bayi kembar sembilan itu memecahkan Guinness World Records bagi bilangan bayi yang paling ramai hidup selepas dilahirkan pada 2021. Kesemua kanak-kanak itu membesar dengan baik sehingga kini.
Ibu sembilan anak itu, Halima Cisse mengaku bukan senang untuk menjaga mereka lebih-lebih lagi ketika mahu menidurkan kesemua anaknya pada waktu malam.
“Mereka suka didodoi, jadi, setiap malam saya akan memeluk mereka supaya boleh tidur dengan mudah,” katanya.
Sejurus melahirkan anak-anaknya pada 4 Mei 2021 menerusi kaedah pembedahan, Halima diterbangkan ke Maghribi oleh kerajaan Mali untuk mendapatkan penjagaan pakar.
Sembilan bayi itu yang terdiri daripada lima anak perempuan dan empat lelaki, dilahirkan ketika usia kandungan 30 minggu.
Berat mereka ketika dilahirkan adalah antara 500 gram hingga 1 kilogram.
Bayi lelaki bernama Mohammed VI, Oumar, Elhadji dan Bah, manakala bayi perempuan diberi nama Kadidia, Fatouma, Hawa, Adama dan Oumou.
Pasangan ini turut mempunyai seorang anak sulung, Souda yang kini sudah berusia enam tahun.
Sebelum ini, rekod itu dipegang oleh wanita dari Amerika Syarikat (AS), Nadya Suleman yang melahirkan lapan bayi pada 2009.
Setakat ini, belum ada mana-mana kelahiran di dunia yang berjaya mengatasi rekod bilangan bayi paling ramai hidup selepas dilahirkan.-AGENSI
-utusanonline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan