Bernama
Rasyidah Ramli didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana mencuri 47 jenis barang bernilai lebih RM500. (Gambar X)
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret menolak pengakuan bersalah seorang wanita didakwa mencuri 47 barang berupa pakaian dan barangan runcit di sebuah pasar raya di sini.
Rasyidah Ramli, 46, pada mulanya mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd.
Mengikut pertuduhan, Rasyidah yang juga seorang suri rumah dan penghidap kanser otak didakwa mencuri 47 jenis barang milik sebuah pasar raya di sini bernilai RM539.79 pada 3.30 petang, 23 Mac.
Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Selepas membuat pengakuan itu, tertuduh berkata: “Saya nak bayar tapi pasar raya itu tak nak terima.”
Susulan itu pengakuan bersalah Rasyidah yang juga ibu kepada enam orang anak ditolak mahkamah kerana disertakan syarat dan bukan secara sukarela.
“Bila kamu mengaku bersalah dan selepas itu nak bagi alasan atau kenyataan, itu bukan lagi pengakuan bersalah, tapi, dah jadi macam mohon dibicarakan. Pengakuan bersalah tidak boleh disertakan syarat,” kata Nik Tarmizie.
Timbalan Pendakwa Raya IPD Kuala Terengganu Mohd Khairi Mohd Noor menawarkan wang jaminan RM10,000 ke atas tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Nurul Hanis Mohd Zaini yang mewakili Rasyidah memohon jaminan lebih rendah kerana anak guamnya hanya bergantung kepada suami yang bekerja kampung dengan pendapatan RM800 sebulan.
“Tertuduh juga penghidap kanser otak dan pernah menjalani pembedahan pada 2012 yang mengakibatkannya menjadi agak pelupa. Tertuduh masih menjalani rawatan susulan,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 April ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan